SHAH ALAM, 20 Sept  — Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menyerahkan sumbangan berjumlah RM800,000 kepada 12 hospital di negeri ini bagi pembelian peralatan untuk rawatan COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS Saipolyazan M.Yusop berkata sumbangan itu disampaikan kepada Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman pada Majlis Serahan Sumbangan Zakat Selangor Peduli Kepada Barisan Hadapan dan Hospital COVID-19 di Hospital Serdang hari ini.

“Setiap hospital menerima sumbangan antara RM30,000 hingga RM100,000 bergantung pada keperluan hospital bagi pembelian keperluan rawatan COVID-19 seperti katil, tilam, kerusi roda, alat bantuan pernafasan, tong oksigen dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata antara hospital yang menerima sumbangan itu ialah Hospital Sungai Buloh, Hospital Selayang dan Hospital Ampang yang masing-masing menerima sumbangan sebanyak RM100,000.

Hospital Tengku Ampuan Rahimah dan Hospital Serdang pula masing-masing menerima sumbangan RM90,000; Hospital UiTM (RM80,000); Hospital Shah Alam, Hospital Kajang dan Hospital Banting (RM50,000) dan Hospital Kuala Kubu Bharu, Hospital Tanjong Karang dan Hospital Sabak Bernam (RM30,000).

Selain itu katanya LZS juga memperuntukkan RM1 juta wang pengurusan operasi amil yang disalurkan bagi membantu institusi perubatan awam dan petugas barisan hadapan di Selangor dalam menangani pandemik COVID-19.

Inisiatif di bawah bantuan Zakat Selangor Peduli itu, adalah tanda sokongan dan keprihatinan amil zakat di negeri ini.

Pada 2 Julai lepas, LZS mengumumkan peruntukan RM69.3 juta bagi melaksanakan 19 inisiatif bantuan Zakat Selangor Peduli yang memberi manfaat kepada 59,322 penerima dan 431 institusi di Selangor.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here