PUTRAJAYA, 20 Sept — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) memaklumkan Projek Kitar Semula Peranti Teknologi Maklumat dan Telekomunikasi Kecil (KITAR) akan dilaksana bagi memupuk semangat kitar semula khususnya melibatkan peranti lama dan telah rosak (e-sisa mudah alih).

Susulan itu, MCMC dalam kenyataan hari ini mengumumkan panggilan untuk kerjasama (CFC) kepada syarikat yang berminat agar menghantar kertas cadangan bagi projek KITAR.

Menurut MCMC, CFC itu meliputi beberapa skop projek iaitu logistik, operasi kitar semula dan platform penjejakan.

“Mana-Mana syarikat yang berminat boleh menghantar kertas cadangan untuk salah satu, dua ataupun bagi ketiga-tiga skop tersebut,” katanya.

Kenyataan itu menyebut pemohon perlu memastikan bahawa kertas cadangan yang dihantar memenuhi kriteria yang telah digariskan dalam dokumen panggilan kolaborasi tersebut.

Pemohon berminat boleh menghantar kertas cadangan dengan mengisi borang menerusi pautan https://www.mcmc.gov.my/skmmgovmy/media/General/pdf/Call-for-Collaboration_KITAR_MCMC.pdf berserta dokumen berkaitan selewat-lewatnya 27 Sept ini.

“Semua cadangan yang dikemukakan adalah tertakluk kepada kelulusan oleh MCMC,” kata suruhanjaya itu.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here