KUALA LUMPUR, 22 Sept — Jabatan Imigresen berjaya menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen imigresen selepas menahan dua lelaki warga Pakistan dan merampas pelbagai cap keselamatan dalam operasi berasingan di Ampang dan Wangsa Maju di sini, semalam.

Ketua Pengarahnya Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata dalam serbuan di dua lokasi berkenaan pihaknya menjumpai pelbagai cap keselamatan antaranya cap keselamatan Jabatan Imigresen, cap nama pegawai jabatan, cap kedutaan asing, cap masuk dan keluar negara Pakistan serta surat kelulusan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja yang dipalsukan.

Beliau berkata imigresen turut menjumpai cap nama pegawai imigresen, cap pesuruhjaya sumpah, cap Majlis Agama Islam Narathiwat serta pasport India, susulan penahanan suspek berumur 32 dan 37 tahun itu

“Kedua-dua suspek dipercayai telah menjalankan kegiatan pemalsuan dokumen imigresen sejak tiga tahun lepas dan menjadi perantara kepada warga asing yang ingin mendapatkan Pas Lawatan Kerja Sementara.

“Bayaran yang dikenakan bagi perkhidmatan mereka ini adalah antara RM2,500 hingga RM4,000 bagi setiap pasport,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul Dzaimee berkata siasatan mendapati sindiket berkenaan mempunyai rangkaian dengan ejen warga asing lain yang telah dikenal pasti termasuk orang tempatan yang kini sedang diburu.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh melaporkan kepada imigresen,” katanya sambil menambah dua suspek berkenaan kini ditahan di Depot Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur bagi siasatan lanjut selepas ujian COVID-19 mereka negatif.

Khairul Dzaimee seterusnya menasihatkan orang ramai terutama warga asing dan majikan supaya berurusan terus dengan JIM dan tidak menggunakan orang tengah atau ejen dalam urusan imigresen.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here