KUALA LUMPUR, 23 Sept — Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) komited untuk memastikan capaian Internet kelajuan tinggi di seluruh negara terutama di Sabah dan Sarawak, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menterinya Tan Sri Annuar Musa berkata usaha itu melalui projek pembinaan tapak menara telekomunikasi baharu, menaik taraf pemancar sedia ada, menyediakan premis dengan gentian optik dan jalur lebar satelit.

“Komitmen untuk menjayakan ini adalah satu komitmen nasional yang besar, tidak dapat tidak, ia perlu dijayakan selaras dengan konsep yang kementerian anjurkan iaitu kesalinghubungan adalah hak asasi manusia,” katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort) mengenai langkah diambil bagi memastikan capaian internet kelajuan tinggi di Sabah.

Annuar berkata bagi Sabah, sebanyak 538 tapak menara telekomunikasi baharu dirancang dengan 51 telah disiapkan, 2,041 stesen pemancar dinaik taraf daripada sasaran 3,500 stesen, 81,268 daripada 251,165 premis menerima gentian optik sementara 138 lokasi dirancang bagi jalur lebar satelit.

Katanya, di Sarawak pula, 823 menara telekomunikasi baharu dirancang dengan 74 telah disiapkan, 1,615  stesen pemancar dinaik taraf daripada sasaran 3,012 stesen, 47,223 daripada 73,588 premis menerima gentian optik, manakala 523 lokasi dirancang bagi jalur lebar satelit.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here