KUALA LUMPUR, 1 Okt — Sembilan atlet yang mewakili negara di Sukan Olimpik Tokyo hari ini menerima ‘durian runtuh’ berupa insentif sebanyak RM5,000 daripada Kementerian Pengajian Tinggi.

Mereka ialah tiga atlet terjun iaitu Leong Mun Yee, Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng Yan Yee; Khairulnizam Mohd Afendy dan Juni Karimah Noor Jamali (pelayaran), Farah Ann Abdul hadi (gimnastik), Welson Sim (renang), Syaqiera Mashayikh (memanah) serta Azreen Nabila Alias (olahraga).

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata penghargaan diberikan kepada mereka yang turut digelar ‘U-Olimpian’ itu adalah sebagai mengiktiraf pencapaian gemilang dilakar pada temasya sukan terbesar dunia di Jepun baru-baru ini.

“Jumlah RM3,000 akan diberikan dalam bentuk tunai dan RM2,000 lagi dalam bentuk Skim Simpanan Pendidikan Nasional,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi dan Penghargaan kepada U-Olimpian Sukan Olimpik Tokyo 2020 dekat Putrajaya.

Turut hadir Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Senator Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad dan Ketua Setiausaha KPT Datuk Seri Dr Mazlan Yusoff.

Noraini berkata selain itu, empat atlet iaitu Syaqiera, Azreen, Juni dan Welson dipilih menerima ‘Biasiswa YB Menteri Pengajian Tinggi – Atlet Cemerlang IPT (Institusi Pengajian Tinggi) bagi tahun ini.

Beliau berkata KPT turut menerbitkan biografi bertajuk ‘U-Olimpian: Dari Menara Gading ke Olimpik Tokyo’ yang menceritakan jerih perih perjuangan mereka sehingga berjaya bergelar U-Olimpian.

Noraini juga memaklumkan pencapaian cemerlang mereka di Tokyo merupakan manifestasi kepada perancangan dan pembangunan sukan di peringkat IPT.

“Malah tidak keterlaluan jika boleh saya rumuskan di sini bahawa Dasar Pembangunan Sukan Institusi Pengajian Tinggi, yang seiring dengan Dasar Sukan Negara untuk menjadikan IPT sebagai pemangkin kepada kecemerlangan sukan negara serta mewujudkan budaya bersukan di IPT, telah berjaya mencapai objektifnya.

“Misi untuk melahirkan ‘The Thinking Athlete’ dengan sasaran 30 peratus atlet negara datangnya dari IPT juga telah dicapai,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap atlet terbabit mampu mengekalkan usaha dan momentum kecemerlangan di Paris 2024 manakala bagi yang akan bersara pula terus membantu generasi masa hadapan untuk melakar kejayaan seperti mereka.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here