KUALA LUMPUR, 5 Okt — Kementerian Pengangkutan akan melaksanakan kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP) yang akan bermula pada akhir tahun ini. 

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong berkata kajian tersebut akan memastikan keperluan pembangunan jangka panjang lapangan terbang di Malaysia berdasarkan keperluan industri semasa mengambil kira impak COVID-19 dan keperluan sistem jaringan kesalinghubungan pengangkutan negara.

“(Kajian tersebut) untuk menentukan hala tuju pembangunan lapangan terbang di Malaysia dari segi pembangunan infrastruktur fizikal, keperluan ruang udara, kajian ekonomi dan strategik agar pembangunan sesebuah lapangan terbang itu dilaksanakan berdasarkan keperluan sebenar,” katanya pada sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini.

Mengenai isu projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) tidak dimasukkan dalam dokumen RMK12, Wee berkata cadangan projek menaik taraf LTAPP sepatutnya dilaksanakan oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) secara inisiatif pembiayaan swasta. 

Bagaimanapun, katanya penularan pandemik COVID-19 telah memberi kesan negatif kepada industri penerbangan negara terutamanya kemampuan MAHB untuk membiayai projek tersebut.

“Berdasarkan perkembangan terkini dan kekurangan permintaan dalam industri penerbangan negara, projek ini akan ditangguhkan sehingga industri penerbangan pulih.

“Bagi tempoh ini, kerajaan sedang menyelesaikan beberapa isu termasuk pengambilan tanah di beberapa kawasan di sekitar LTAPP bagi membolehkan projek menaik taraf LTAPP dapat dilaksanakan setelah industri penerbangan pulih,” tambahnya.

Wee berkata penularan COVID-19 telah memberi kesan terhadap sektor penerbangan penumpang berikutan pelaksanaan sekatan perjalanan bagi sektor domestik dan antarabangsa oleh kerajaan bagi membendung penularan pandemik ini.

“Sektor penerbangan negara diunjurkan hanya akan pulih dalam tempoh tiga hingga empat tahun tertakluk kepada situasi semasa penularan COVID-19,” tambahnya.

Dalam pada itu, Wee berkata cadangan pembangunan lapangan terbang atau padang terbang bagi tujuan penyediaan perkhidmatan udara luar bandar akan diteruskan, tertakluk kepada kedudukan kewangan negara.

“Kementerian akan mempertimbangkan permohonan tersebut sekiranya terdapat keperluan mendesak penduduk di kawasan pedalaman negara dan kementerian akan mengemukakan permohonan kepada Unit Perancang Ekonomi untuk menaik taraf atau membina mana-mana lapangan terbang berdasarkan laporan NASP yang disebutkan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here