ALOR SETAR, 5 Okt  — Penularan jangkitan COVID-19 membabitkan sebuah hotel terkemuka di Langkawi tidak akan menjejaskan projek rintis gelembung pelancongan yang dilaksanakan di pulau peranginan itu sejak 16 Sept lepas.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata beliau dimaklumkan oleh Jabatan Kesihatan negeri bahawa kes tersebut merupakan penularan tempatan yang berlaku di kawasan kediaman pekerja hotel terbabit.

“Kes itu mula menular di kawasan kediaman pekerja hotel dan ia bukan kes import daripada pelancong luar tetapi kes tempatan yang kemudiannya menular di tempat kerja.

“Perkara ini tidak akan menjejaskan industri pelancongan di Langkawi kerana kita telah ambil tindakan yang sepatutnya bagi menjaga gelembung pelancongan di pulau itu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, Muhammad Sanusi menerima kunjungan hormat Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid di Pejabat Menteri Besar Kedah di Wisma Darul Aman di sini.

Semalam, media melaporkan sebuah hotel yang terkenal di Langkawi menghentikan sementara operasi selepas 59 pekerja hotel itu disahkan positif COVID-19 setakat semalam (Isnin).

Pengarah Kesihatan Kedah Dr Othman Warijo berkata kesemua kes jangkitan berkenaan dilaporkan sebagai Kluster Dah Teluk Nibung yang dikategorikan sebagai kluster tempat kerja.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here