PUTRAJAYA, 7 Okt  — Bekalan ayam dan telur  pada masa kini mencukupi bagi  menampung  keperluan dan permintaan pengguna, kata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

KPDNHEP dalam kenyataan hari ini berkata ia berdasarkan anggaran pengeluaran bekalan ayam di pasaran oleh pihak penternak sebanyak 64.9 juta ekor pada Oktober, manakala bekalan telur ayam pula melebihi satu bilion biji sebulan.

Katanya susulan pewartaan ayam dan telur ayam sebagai barang kawalan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, kementerian itu berperanan memastikan bekalan sentiasa stabil, mencukupi serta mudah diperoleh pengguna pada harga yang munasabah di pasaran.

“Bagi memastikan bekalan ayam dan telur mencukupi, KPDNHEP membuat pemantauan keberadaannya  secara komprehensif, selain menjalin kerjasama dengan agensi berkaitan seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar  dan pemeriksaan secara berkala di peringkat penternak, pemborong serta peruncit dari segi pengeluaran dan pengedaran,” menurut kenyataan itu.

Menurutnya, bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP pula sentiasa memantau bekalan secara berkala ke atas 20 syarikat pengeluar ayam yang mewakili 1,028 ladang sejak 22 Sept 2020, dan 50 syarikat pengeluar telur ayam yang mewakili 101 ladang sejak Mei 2020.

Selain itu, katanya pemeriksaan secara harian berkaitan keberadaan bekalan ayam dan telur ayam ke atas 2,711 peruncit terpilih daerah (DDR) dan 1,039 pemborong terpilih daerah (DDW) juga dibuat yang meliputi 222 Parlimen dan 576 DUN di seluruh negara.

“KPDNHEP ingin mengingatkan kepada peniaga agar lebih bertanggungjawab dalam memastikan pengeluaran dan pengedaran ayam serta telur ayam sentiasa mencukupi untuk keperluan pengguna,” katanya.

Individu atau syarikat yang melanggar undang-undang berkaitannya boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, katanya. 

Pengguna yang mempunyai maklumat berhubung salah laku peniaga boleh menyalurkan aduan menerusi pelbagai saluran seperti WhatsApp 019-279 4317; Mobileapps Ez ADU KPDNHEP; portal e-aduan.kpdnhep; pusat panggilan 1-800-886-800; emel di e-aduan@kpdnhep.gov.my atau melalui Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-8882 6088/6245.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here