SHAH ALAM, 7 Okt  — Insiden gangguan bekalan air di negeri ini dijangka berkurangan selepas kerja-kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan aset kritikal yang menyebabkan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 dilakukan.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata penyelenggaraan bermula 13 hingga 16 Okt itu merupakan penyelenggaraan berjadual yang telah ditangguhkan sejak 2019 dan 2020 serta telah diberi kelulusan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

“Pada 2019, ia sangat hampir dengan gangguan tidak berjadual yang berlaku pada waktu berkenaan manakala pada 2020, ia (ditangguhkan susulan) pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kita tidak mahu sebarang gangguan bekalan berlaku ketika pelaksanaan PKP.

“Jadual penyelenggaraan ini perlu kita laksanakan bagi mengelakkan sebarang kerosakan. Kalau kita boleh imbas pada 2016, berlaku letupan kepada loji rawatan tertentu di Selangor dan ia mencederakan pegawai kita serta turut menyebabkan bekalan air terganggu lebih seminggu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Amirudin berkata sejak kerajaan negeri mengambil alih pelaksanaan pengurusan bekalan air di bawah satu payung di bawah Air Selangor, pihaknya telah menyemak mengenai jadual penyelenggaraan.

Beliau berkata isu gangguan bekalan air di Selangor kebiasaannya berlaku disebabkan tiga faktor iaitu bekalan air mentah tidak mencukupi sewaktu kemarau atau pencemaran, kegagalan LRA berfungsi serta faktor luar kawalan. 

Sebelum ini, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan 998 kawasan di Lembah Klang akan mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula 13 hingga 16 Okt ini susulan pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan itu. 

Kawasan terlibat membabitkan daerah Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor. 

Mengenai perkembangan banjir kilat di Shah Alam baru-baru ini, Amirudin berkata Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mengambil langkah segera dengan mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM7 juta bagi membuat tambahan pam bagi mengatasi isu terbabit. 

Amirudin berkata bagi menyelesaikan isu banjir di Selangor, sebanyak 78 projek telah disiapkan dengan peruntukan berjumlah RM425.23 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11). 

“Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor turut memohon RM1.3 bilion untuk menyelesaikan isu banjir secara holistik di kawasan ‘panas’ banjir,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here