KUALA LUMPUR, 1 Nov — Dua pegawai kanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa bekas timbalan perdana menteri itu kerap memberi sumbangan dan melakukan aktiviti amal jariah menggunakan wang peribadinya dan dana Yayasan Akalbudi (YAB).

Pegawai khas Ahmad Zahid, Datuk Mohd Kamal Abdullah, 65, berkata kebanyakan sumbangan Ahmad Zahid adalah bagi pembinaan masjid, surau dan pusat tahfiz selain kepada orang-orang miskin, anak-anak yatim serta ibu-ibu tunggal. 

“Semasa di peringkat awal penubuhan YAB, Ahmad Zahid sendiri yang akan memasukkan wang peribadinya ke dalam yayasan itu untuk disumbangkan kepada individu yang memerlukan.

“Sumbangan beliau (Ahmad Zahid) bukan sahaja tertumpu di kawasan Bagan Datuk dan Melaka, malahan di seluruh negara dan di luar Malaysia. Sumbangan itu dikeluarkan daripada duit peribadi beliau sendiri atau melalui Yayasan Akalbudi,” katanya.

Saksi pembelaan keenam itu berkata demikian semasa membacakan pernyataan saksi pada perbicaraan kes bela diri Ahmad Zahid, 69, yang menghadapi 47 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik YAB.

Mohd Kamal berkata sumbangan YAB antaranya untuk membangunkan Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Al-Bab di Melaka, menyumbang RM10 juta untuk pembinaan Masjid Salmah Khamis serta pembinaan Masjid Tuminah Hamidi di Bagan Datuk yang masih dibina dan dijangka siap November ini.

Mengenai Yayasan Al-Falah, Ahmad Kamal berkata Ahmad Zahid memberitahunya ia adalah yayasan yang ditubuhkan bagi menginstitusikan harta-harta peninggalan arwah ayah penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk itu untuk kebajikan.

“Pembinaan Masjid Tuminah Hamidi ditaja sepenuhnya oleh Yayasan Akalbudi dan Yayasan Al-Falah sebagai pemaju. Saya mengetahui bahawa tarikh yang sepatutnya pembinaan masjid itu siap telah tergendala akibat pembekuan akaun Yayasan Akalbudi oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” katanya.

Terdahulu, bekas Setiausaha Sulit Kanan Ahmad Zahid, Dr Sabri Zainudin Zainul, 61, berkata sepanjang pengenalan dan perkhidmatannya dengan Ahmad Zahid, ramai individu yang hadir ke pejabat timbalan perdana menteri untuk bertemu beliau (Ahmad Zahid) bagi mendapatkan dana bantuan untuk menyambung pelajaran.

“Datuk Seri Zahid kebiasaannya akan bersetuju dan memberikan bantuan dalam bentuk tunai. Pernah juga terjadi apabila Datuk Seri Zahid tidak mempunyai wang tunai untuk memberikan bantuan pada ketika itu.

“Beliau (Ahmad Zahid) akan memanggil saya dan memohon untuk menggunakan wang tunai saya dahulu sekiranya ada dan beliau akan menggantikannya semula kepada saya selepas itu,” katanya ketika membacakan pernyataan saksi.

Saksi pembelaan kelima itu berkata Ahmad Zahid turut memberi sumbangan peribadi bagi menampung perbelanjaan Hari Keluarga Kementerian Dalam Negeri.

Semasa soal balas pihak pendakwaan, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran menegur saksi berkenaan agar tidak menjadikan mahkamah sebagai kedai kopi dan tidak mereka-reka cerita apabila saksi itu tidak menjawab soalan yang diajukan dengan tepat.

Raja Rozela mempersoalkan sama ada Sabri Zainudin terlibat ketika Ahmad Zahid mengarahkan Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly, bekas Setiausaha Eksekutif Ahmad Zahid, menggunakan cek YAB untuk membayar kad kreditnya (Ahmad Zahid).

Bagaimanapun, Sabri Zainudin tidak menjawab soalan itu dengan tepat walaupun diulang beberapa kali, menyebabkan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah mencadangkan kepada Raja Rozela supaya mengubah semula soalannya.

Perbicaraan bersambung esok.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here