LABUAN, 8 Okt  — Sebanyak 83.19 peratus daripada keseluruhan 10,200 pelajar sekolah berumur 13 hingga 17 tahun di Wilayah Persekutuan Labuan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19 setakat 6 Okt.

Daripada jumlah itu, 19.07 peratus telah melengkapkan dos kedua.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan Dr Ismuni berkata program vaksinasi kepada pelajar berumur 12 tahun akan bermula esok.

“Program vaksinasi ini melibatkan kerjasama daripada Jabatan Pendidikan dan Majlis Perwakilan Penduduk,” katanya kepada Bernama hari ini.

Labuan adalah wilayah persekutuan dan antara negeri perintis kepada pembukaan sesi persekolahan seluruh Malaysia pada 4 Okt lepas, susulan peralihan kepada Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan merekodkan prestasi yang baik Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Terdapat 10 buah sekolah menengah dan 17 sekolah rendah di Labuan.

Dalam pada itu, Dr Ismuni berkata dalam memastikan imunisasi total penduduk dapat dilaksanakan, program vaksinasi akan diberikan kepada kanak-kanak berumur 12 hingga 17 tahun yang tidak bersekolah.

“Dan ini hanya dapat dilaksanakan sebaik selesai program vaksinasi lengkap kepada semua pelajar sekolah rendah darjah enam, sekolah menengah  tingkatan satu hingga lima selesai,” katanya.

Sementara itu, Program Media Engagement sempena kempen kembali ke sekolah anjuran Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Jabatan Penerangan akan diadakan bermula 16 hingga 18 Okt depan.

Dalam satu jemputan kepada Bernama dari kementerian itu, program itu akan dibuat di Langkawi dan Labuan merangkumi lintas langsung, liputan media, liputan persediaan pra pembukaan sekolah dan sesi temu bual.

Program itu bertujuan untuk menguarkan pengoperasian pembukaan sesi persekolahan agar masyarakat umum yakin dan jelas dengan keputusan Kementerian Pendidikan membuka semula sesi persekolahan secara bersemuka.

Dalam pada itu, sebanyak 100 peratus populasi dewasa di Labuan lengkap menerima dua dos vaksin COVID-19 pada 7 Sept lepas.

Selain rakyat tempatan, populasi dewasa dalam kalangan imigran di pulau ini juga telah divaksin khususnya di dua Skim Penempatan Masyarakat Pelarian Filipina.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here