KUALA LUMPUR, 11 Okt — Malaysia berhasrat mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah kaca (GHG) merentasi ekonomi sebanyak 45 peratus berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar pada 2030 kelak.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pengurangan intensiti itu dibuat tanpa syarat dan 10 peratus lebih tinggi daripada sasaran sebelum ini. 

Beliau berkata perkara itu akan menjadi pendirian negara yang bakal dibentangkan semasa Persidangan Ke-26 Negara Ahli kepada Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP-26) di Glasgow, Scotland dari 31 Okt hingga 12 Nov. 

“Buat julung kalinya, pendirian negara yang bakal dibentangkan semasa UNFCCC COP-26 telah pun dibincangkan di peringkat tertinggi negara melalui platform Mesyuarat Majlis Tindakan Perubahan Iklim Malaysia (MyCAC). 

“Walaupun saya dan Menteri Alam Sekitar dan Air Malaysia (KASA) (Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man) tidak dapat menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin Dunia pada 1 hingga 2 Nov dan UNFCCC COP-26, keputusan mesyuarat telah memberi mandat kepada delegasi yang diketuai oleh KASA untuk menyampaikan Kenyataan Negara,” menurutnya menerusi kenyataan mengenai komitmen Malaysia dalam menerajui agenda perubahan iklim negara hari ini.

Ismail Sabri berkata turut akan diketengah dalam kenyataan negara ialah aspirasi Malaysia untuk mencapai pelepasan GHG bersih sifar seawal 2050 dan pencapaian itu tertakluk kepada hasil kajian Strategi Jangka Panjang Pembangunan Rendah Karbon yang akan dimuktamad pada akhir 2022 oleh KASA.

Beliau berkata turut akan dibangkitkan ialah pelaksanaan Skim Perdagangan Karbon Domestik (DETS) oleh KASA dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Bursa Malaysia Berhad.

“Skim ini melibatkan pembangunan platform tunggal bagi transaksi kredit karbon di peringkat domestik. Kerajaan yakin DETS berpotensi menarik pelaburan rendah karbon ke dalam negara, meningkatkan daya saing produk keluaran Malaysia di peringkat antarabangsa dan menjana sumber kewangan mampan kepada entiti dalam negara,” katanya. 

Turut diketengahkan ialah usaha meningkatkan penjanaan tenaga boleh baharu, sasaran perolehan 100 peratus kenderaan kerajaan bukan berasaskan enjin pembakaran dalaman (ICE) menjelang 2030, mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus litupan hutan negara, menggalakkan sisa sifar dan kitar semula serta pembangunan bandar rendah karbon melalui Pelan Induk Bandar Rendah Karbon serta konsep ekonomi kitaran. 

Ismail Sabri berkata kerajaan juga telah mengambil kira faktor perubahan iklim dalam reka bentuk kejuruteraan sistem infrastruktur berkaitan air bagi memastikan pengurusan air secara lestari dan menggalakkan lebih banyak pihak swasta menjadikan aspirasi pelepasan GHG bersih sifar dalam agenda kelestarian operasi syarikat.

Beliau juga berkata ASEAN wajar dimanfaatkan sebagai satu kumpulan rundingan bagi menyuarakan pendirian bersama negara di rantau itu mengenai perubahan iklim. 

Selain itu, kerajaan wajar memperkukuh tadbir urus perubahan iklim negara antaranya melalui penubuhan Pusat GHG Kebangsaan di bawah KASA bagi meningkatkan ketelusan pelaporan maklumat dan data perubahan iklim negara yang diuruskan oleh pusat tersebut supaya dapat meningkatkan keyakinan pelaburan rendah karbon.

Katanya memandangkan isu perubahan iklim merentas sektor dan kini turut dikaitkan dengan isu perdagangan antarabangsa, adalah penting untuk KASA terus menerajui agenda itu.

Ismail Sabri berkata negara juga perlu mengambil kira pendekatan kesihatan planet bagi menangani krisis iklim dan melindungi kesihatan Keluarga Malaysia.

“Selaras dengan pendekatan seluruh negara, semua pemegang taruh diseru untuk bersama-sama menyumbang kepada agenda perubahan iklim negara dan mengarus perdana isu tersebut dalam rancangan pembangunan dan pelaksanaan dasar negara,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa agenda perubahan iklim dan teknologi hijau merupakan keutamaan negara di bawah pentadbiran kerajaan ketika ini dan komitmen itu terkandung dalam Tema Ketiga Rancangan Malaysia Ke-12 iaitu Melonjakkan Kemampanan. 

Terdahulu, Ismail Sabri mempengerusikan Mesyuarat MyCAC hari ini yang dianggotai oleh 13 Menteri Besar dan Ketua Menteri, 16 Menteri Kabinet, Ketua Setiausaha Negara dan dua pakar sebagai ahli jemputan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here