BEIJING, 15 Okt — Presiden China Xi Jinping pada Khamis menyeru kerjasama dalam bidang pengangkutan global terus diperkasa dan menggalakkan pembangunan bersama.

Dalam ucaptamanya menerusi video pada majlis perasmian Persidangan Pengangkutan Mampan Global ke-2 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis, beliau berkata dunia kini berkembang menjadi “kampung Bumi” yang boleh berhubung antara satu sama lain berkat kemajuan dalam bidang pengangkutan.

“Kita hendaklah bertindak selaras dengan arus zaman pembangunan sejagat, dan mendorong kerjasama pengangkutan supaya dapat membuka lembaran baharu dalam memperjuangkan kesalinghubungan infrastruktur, kelancaran perdagangan serta pelaburan dan pertembungan tamadun,” katanya.

Presiden Xi turut menekankan peri pentingnya mengembangkan pengangkutan dan logistik yang pintar, sehubungan itu China akan membina sebuah pusat inovasi dan keilmuan pengangkutan mampan antarabangsa sebagai sumbangan terhadap pembangunan pengangkutan global.

Dalam ucapannya beliau turut menyentuh mengenai usaha meningkatkan kerjasama Selatan-Utara dan Selatan-Selatan untuk memberi lebih banyak sokongan kepada pembinaan infrastruktur pengangkutan di negara kurang maju dan membangun.

“Terutama di kawasan pedalaman demi mewujudkan matlamat kemakmuran bersama,” katanya.

Selain itu, China akan terus mengamalkan multilateralisme yang sebenar untuk memberi sumbangan lebih besar kepada pembanguan sedunia serta memperkasa kaedah pengangkutan hijau dan rendah karbon.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here