KUALA LUMPUR, 28 Okt  — Malaysia dan Indonesia sepakat berkongsi komitmen untuk meningkatkan lagi kerjasama antara Angkatan Tentera Malaysia dan Tentera Nasional Indonesia (TNI) bagi memperkukuh kawalan keselamatan di sempadan terutamanya menerusi pengoperasian Pos-pos Gabungan.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata buat masa ini, operasi gabungan antara Tentera Darat Malaysia dan TNI adalah di enam penempatan pos gabungan yang tertumpu di sempadan Sarawak-Kalimantan.

Beliau berkata Malaysia dan Indonesia juga bersetuju meneruskan latihan bersama antara angkatan tentera negara masing-masing dalam usaha menangani ancaman pengganas melalui Latihan Gabungan Bersama, Malaysia-Indonesia – Darat, Samudera dan Angkasa (LATGABMA MALINDO DARSASA) yang akan diadakan pada tahun depan di Malaysia. 

“Latihan bersama ini akan melibatkan kerjasama ketiga-tiga cabang perkhidmatan dari angkatan tentera serta pasukan polis kedua-dua negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Hishammuddin juga berkata Malaysia bakal menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan Malaysia-Indonesia ke-42 pada Februari tahun depan dan kali terakhir mesyuarat itu diadakan ialah pada tahun 2018.

“Mesyuarat ini penting bagi membincangkan usaha-usaha memperkukuh keselamatan sempadan antara kedua-dua negara. 

“Maka tadi saya ambil kesempatan menyampaikan jemputan kepada Kerajaan Indonesia melalui rakan sejawat Menteri Pertahanan Republik Indonesia (Prabowo Subianto) dan jemputan Malaysia disambut baik dan pihak Indonesia telah menyuarakan kesediaan untuk hadir,” katanya.

Selain itu, Hishammuddin berkata beliau dan Prabowo juga bersetuju meningkatkan kerjasama pertahanan menyeluruh Malaysia-Indonesia dan bagi tujuan itu buat julung kalinya satu Memorandum Persefahaman (MoU) bakal dilaksanakan dan ditandatangani awal tahun hadapan.

Sementara itu, Hishammuddin juga berkata, inisiatif Perjanjian Kerjasama Tiga Hala  (TCA) yang dimulakannya bersama Menteri Pertahanan Indonesia sebelum ini iaitu Ryamizard Ryacudu dan Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin  Lorenzana pada tahun 2017 turut menjadi perbincangan bersama Prabowo.

Katanya, kedua-dua menteri pertahanan menzahirkan penghargaan atas komitmen penuh angkatan tentera masing-masing dalam TCA melalui rondaan udara dan maritim serta bersetuju bahawa inisiatif itu masih mempunyai ruang yang boleh ditambah baik bagi menangani ancaman di Laut Sulu dan Sulawesi.

“Sehubungan itu, kami sepakat untuk sekali lagi meningkatkan kerjasama menerusi TCA di peringkat Menteri Pertahanan ketiga-tiga negara. Satu mesyuarat peringkat Menteri Pertahanan Malaysia, Indonesia dan Filipina akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan usaha ke arah mengukuhkan lagi inisiatif TCA,” katanya.

Hishammuddin berkata Malaysia dan Indonesia bertekad untuk terus memelihara hubungan dua hala yang akrab sejak sekian lama terutama daripada sudut keselamatan selari dengan salah satu teras utama Kementerian Pertahanan iaitu Diplomasi Pertahanan. 

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Prabowo atas lawatan kerja sulung beliau ke Malaysia hari ini yang dikendalikan berdasarkan tatacara-tatacara dan Prosedur Operasi Standard pencegahan COVID-19 amat ketat ditetapkan Kerajaan Indonesia dan Malaysia,” katanya.

Selain itu, kedua-dua negara turut senada bahawa penglibatan bersama antara perkhidmatan kesihatan angkatan tentera kedua-dua negara perlu ditingkatkan terutama menerusi perkongsian amalan terbaik berkaitan pemberian vaksin, kaedah rawatan dan pendekatan ujian saringan COVID-19.

Hari ini, Hishammuddin menerima kunjungan hormat daripada Prabowo ke Malaysia susulan sidang video pada 4 Okt lepas dan ini merupakan pertemuan bersemuka pertama antara kedua-dua menteri pertahanan itu sejak dunia dilanda pandemik COVID-19.

Sebelum itu, Prabowo memulakan lawatan kerjanya di sini dengan mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.



LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here