KUALA LUMPUR, 30 Okt  — Cukai Makmur yang dicadangkan menerusi pembentangan Bajet 2022 dan bukannya cukai ke atas keuntungan luar biasa, akan menyokong inisiatif kerajaan memandangkan pihak yang menikmati keuntungan luar biasa daripada pandemik COVID-19 boleh membantu pihak lain yang terjejas dengan semangat berkongsi kemakmuran negara, menurut Deloitte Malaysia.

Timbalan Pengarah Urusan, Tan Hooi Beng berkata sesuatu yang baik apabila menyaksikan kerajaan melaksanakan begitu banyak rangsangan ekonomi menerusi perbelanjaan.

“Pelbagai langkah cukai korporat seperti Cukai Makmur, penangguhan ansuran bulanan, lanjutan pengurangan cukai khas bagi pengurangan sewaan premis perniagaan, lanjutan tarikh akhir bagi kehilangan cukai dan banyak lagi yang akan menjadi penyelesaian bagi ekonomi mencabar ini,” menurut firma audit itu dalam kenyataan pada Sabtu.

Sementara itu, Ketua Pasaran Cukai Malaysia, Ernst & Young Tax Consultants Sdn Bhd (EY), Farah Rosley berkata Cukai Makmur adalah sejajar dengan trend antarabangsa terkini, seperti langkah Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) untuk mengenakan cukai lebih tinggi ke atas syarikat yang besar dan lebih menguntungkan mulai 2023.

Semasa membentangkan Bajet 2022 pada Jumaat, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kerajaan bercadang memperkenalkan cukai khas secara sekali sahaja kepada syarikat yang menjana pendapatan tinggi.

“Dengan nama Cukai Makmur, syarikat dengan pendapatan bercukai sehingga RM100 juta pertama akan dikenakan cukai pendapatan pada kadar 24 peratus dan pendapatan bercukai selebihnya akan dikenakan cukai pendapatan pada kadar 33 peratus bagi tahun taksiran 2022,” katanya.

Beliau berkata ia bagi memastikan sistem kesihatan awam lebih berdaya tahan dalam menghadapi sebarang ancaman pada masa hadapan.

Selain itu, Farah berkata cukai pendapatan korporat lain yang penting dalam Bajet 2022 adalah kerugian terkumpul yang tidak dapat diserap boleh dibawa ke hadapan bagi tempoh daripada maksimum tujuh tahun taksiran berturut-turut kepada maksimum 10 tahun taksiran berturut-turut.

Kerajaan juga bercadang melanjutkan elaun pelaburan semula (atau EPS) selama dua tahun lagi sehingga 2024 bagi syarikat sedia ada di Malaysia yang telah tamat tempoh kelayakan EPS mereka, katanya.

“Cadangan-cadangan ini akan disambut baik oleh syarikat yang terjejas ekoran pandemik, serta firma yang berhasrat melabur semula apabila iklim perniagaan bertambah baik,” katanya.

Mengenai Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang akan diperkenalkan secara berfasa dengan insentif remisi penalti sebanyak 100 peratus bagi fasa pertama dan remisi penalti sebanyak 50 peratus bagi fasa kedua, beliau berkata remisi cukai mungkin boleh dipertimbangkan mengikut kes.

“PKPS merupakan peluang unik untuk pembayar cukai untuk mengatur semula kedudukan cukai tidak langsung mereka, membayar penalti yang dikurangkan atau tidak, dan bergerak ke hadapan dengan rekod yang bersih,” katanya.

Mengenai pengenalan Sijil Pematuhan Cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri sebagai sebahagian prasyarat untuk syarikat menyertai perolehan kerajaan bermula 1 Jan, 2023, Farah berpendapat ia akan menjadi pendorong seterusnya kepada pembayar cukai untuk memenuhi semua syarat pematuhan cukai dan membantu memastikan cukai dikemaskinikan.

Deloitte Malaysia pula berpandangan langkah itu mungkin satu bentuk semak dan imbang untuk memastikan kerajaan melaksanakan urusan hanya dengan pihak yang merupakan pembayar cukai bertanggungjawab.

“Satu perkara yang membimbangkan adalah jika pertikaian dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri berterusan, ini akan menjejaskan pemberian sijil tersebut kepada pembayar cukai,” katanya dalam ulasan Bajet 2022.

Ketua Cukai Tidak Langsung, Deloitte Malaysia, Tan Eng Yew turut senada dengan Farah apabila berpendapat bahawa PKPS perlu menggalakkan perniagaan ke arah budaya pematuhan kendiri, yang menjadi petanda baik untuk fasa pembaharuan fiskal seterusnya.

“Bajet 2022 merupakan adalah bajet yang difikirkan dengan teliti, bersasar dan seimbang daripada perspektif cukai tidak langsung,” katanya.

Bajet 2022 bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’, yang dibentangkan kerajaan di Dewan Rakyat pada Jumaat, mendukung tiga paksi utama iaitu memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan.

Sebanyak RM332.1 bilion diperuntukkan tahun depan, dengan RM233.5 bilion daripada jumlah tersebut akan disalurkan sebagai perbelanjaan mengurus manakala RM75.6 bilion untuk perbelanjaan pembangunan dan bakinya RM23 bilion kepada Kumpulan Wang COVID-19.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here