KUCHING, 31 Okt — Dua Timbalan Ketua Menteri Sarawak berkongsi pandangan yang sama, menganggap mendiang Tan Sri Dr James Jemut Masing sebagai pemimpin yang gigih serta lantang dalam memperjuangkan kesejahteraan komuniti Dayak serta penduduk pedalaman di negeri ini, dan pemergiannya adalah kehilangan besar kepada seluruh Sarawak.

Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata mendiang sering memperjuangkan nasib komuniti Dayak dan berusaha memperkasa kaum itu menerusi penyertaannya yang amat bermakna dalam pentadbiran kerajaan.

“Bermula sebagai seorang penghuni rumah panjang dari kawasan pedalaman, dengan pendidikan, mendiang meniti tangga kejayaan dalam arena politik negeri menerusi tekad, dedikasi dan memberikan perkhidmatan cemerlang kepada komuniti serta seluruh penduduk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) itu berjaya memperkasa Sarawak menerusi politik rundingan serta saling menghormati dan pembabitan bermakna dalam kerajaan.

Seorang lagi Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pula menganggap James Masing sebagai ahli politik yang tegas, berani serta lantang semasa memperjuangkan hak rakyat semasa mereka bersama dalam arena politik, walaupun semasa mendiang bersama dalam blok pembangkang satu ketika dahulu.

“Kami mempunyai hubungan begitu rapat dan pemergiannya adalah sesuatu yang amat tidak dijangka. Ini sememangnya satu perkara yang amat menyedihkan saya. Keluarga saya juga rapat dengan keluarga mendiang. Takziah kepada keluarganya,” katanya kepada media di Lawas hari ini.

James Masing, Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak meninggal dunia di Pusat Perubatan Normah Sarawak (NSMC) di Petra Jaya, Kuching kira-kira pukul 7.05 pagi pada usia 72 tahun.

Ahli Dewan Undangan Negeri Baleh sejak 1983 itu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Hospital Umum Sarawak (HUS) pada bulan September lepas kerana disahkan positif COVID-19 sebelum dipindahkan ke NSMC untuk rawatan susulan.

Sementara itu Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Julaihi Narawi dalam kenyataan berkata kehilangan ‘ketuanya’ itu amat dirasai seluruh penduduk negeri.

“Kami di Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) mengenali beliau sebagai seorang pemimpin yang penuh dengan ‘wisdom‘ (bijaksana) dan komitmen yang tinggi terhadap tanggungjawab kepada rakyat dan negeri Sarawak.

“Saya mewakili keluarga dan warga kerja MIPD mengucapkan salam takziah kepada keluarga mendiang,” tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here