KUALA SELANGOR, 2 Nov — Sebanyak 40 syarikat dan agensi kerajaan menjalin kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi membantu lebih ramai wanita mendapat peluang pekerjaan atau menjadi usahawan menerusi inisiatif Wanita Bangkit@KPWKM . 

Menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata inisiatif dilancarkan kementeriannya sejak 1 Sept lepas berjaya membantu sebanyak 1,744 wanita bagi mendapat pekerjaan dan menjana pendapatan dalam tempoh dua bulan pelaksanaannya. 

“Alhamdulillah, hari ini dengan lima lagi syarikat (menjadi rakan strategik) telah menjadikan keseluruhan agensi dan syarikat yang berkerjasama melalui inisiatif kementerian Wanita Bangkit@KPWKM adalah sebanyak 40 termasuk Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional).

“Dijangka selepas ini akan ada lima atau enam syarikat yang bersama membantu dalam menjayakan inisiatif Wanita Bangkit@KPWKN ini,” katanya pada sidang media Majlis Kolaborasi Rakan Strategik Wanita Bangkit@KPWKM disini hari ini.

Rina berkata pelaksanaan inisiatif tersebut juga adalah kesinambungan daripada agihan Bantuan Bakul Makanan kementeriannya dengan menghubungkan peluang pekerjaan dan mendekatkan golongan wanita yang menjadi ketua isi rumah khususnya ibu tunggal, B40, M40 dan suri rumah terjejas pendapatan ketika pandemik COVID-19 dengan platform keusahawanan.

Jelasnya, pihak kementerian akan bertindak sebagai penyelaras insiatif berkenaan dengan memantau para peserta program selama enam bulan bagi memastikan masa depan mereka lebih tersusun dan terancang melalui proses pemerkasaan ekonomi.

Katanya, lagi program Wanita Bangkit@KPWKM itu juga dijangka dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada awal Disember depan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here