KUALA TERENGGANU, 2 Nov — Kadar tempahan penginapan di 36 hotel di bawah Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Terengganu menunjukkan peningkatan hingga 80 peratus sejak pergerakan rentas negeri dibenarkan 11 Okt lepas.

Pengerusi MAH Terengganu Suaibah Harun berkata purata tempahan pada hari biasa ialah 50 peratus dan jumlah itu meningkat kepada 80 peratus pada hujung minggu terutama pada musim cuti perayaan.

“Peningkatan ini adalah satu perkembangan positif untuk industri perhotelan dan pelancongan kembali pulih pascapandemik COVID-19.

“Kita yakin apabila pelancong antarabangsa mula berkunjung ke Terengganu, kadar pertumbuhan semula industri perhotelan akan meningkat lebih pantas kerana aliran tunai yang mereka belanjakan lebih besar berbanding pelancong domestik,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Eelectric Vehicle (EV) Charging Stesen di Hotel Primula di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) merangkap Ahli Lembaga Pengarah Hotel Primula Burhanuddin Hilmi Mohamed @Harun dan Presiden Kelab Pemilik Kenderaan EV Malaysia (MyEVOC), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Hotel Primula adalah lokasi ketiga menyediakan kemudahan untuk pengguna kenderaan elektrik mengecas semula kereta mereka dengan lebih mudah dan selesa selain Hotel Tanjung Vista, Kuala Terengganu dan Awana Kijal di Kemaman.

Ketika ini, hanya Terengganu satu-satunya negeri yang menyediakan perkhidmatan stesen pengecas kereta elektrik di Pantai Timur.

Suaibah berkata stesen pengecas dengan kapasiti 7.4 kilowatt itu boleh digunakan secara percuma oleh pengguna kenderaan elektrik yang menginap di hotel berkenaan termasuk pengguna dari luar.

“Inisiatif ini selaras hasrat kerajaan untuk memulihara alam sekitar, membudayakan penggunaan teknologi hijau dan mesra alam. Secara tidak langsung, ia diharap mampu menarik kedatangan lebih ramai pelancong ke hotel ini melalui perkhidmatan canggih yang disediakan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here