MELAKA, 6 Nov — Barisan Nasional (BN) mempertaruhkan 86 peratus calon muka baharu di samping mengekalkan empat penyandang untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 Nov ini.

Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan yang mengumumkan calon berkata empat penyandang berkenaan ialah Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali, Exco Kesihatan dan Anti Dadah Datuk Rahmad Mariman, Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan Datuk Muhammad Jailani Khamis serta Datuk Zaidi Attan.

Muhammad Jailani sebelum ini menang di Dewan Undang Negeri (DUN) Rembia atas tiket PKR pada Pilhan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebelum meninggalkan parti dan menyertai UMNO pada 1 Jan lepas.

“Kita mencalonkan 20 kerusi UMNO, tujuh MCA dan satu MIC pada PRN kali ini,” katanya dalam majlis pengumuman calon di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir kepimpinan komponen BN termasuk Datuk Seri Wee Ka Siong dan Penasihat BN Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh buat pertama kali dicalonkan bertanding di kerusi Tanjung Bidara, manakala timbalannya yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad diberi tugas menggalas cabaran di kerusi Sungai Udang.

Pengumuman itu juga menyaksikan lapan penyandang – Datuk Ismail Othman (Kuala Linggi), Datuk Md Rawi Mahmud (Tanjung Bidara), Datuk Amirudin Yusof (Ayer Limau), Datuk Latipah Omar (Taboh Naning), Datuk Seri Abdul Ghafar Atan (Asahan), Datuk Ghazale Mohamad (Rim), Datuk Roslan Ahmad (Merlimau) dan Datuk Hasan Abd Rahman (Sungai Rambai) digugurkan pada PRN ini. 

Mohamad yang juga Pengarah PRN Melaka berkata 86 peratus muka baharu termasuk Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Khaidhirah Abu Zahar yang dinamakan bagi kerusi Rim, Ketua Pemuda UMNO Melaka Fairul Nizam Roslan (Asahan) dan Rosli Abdullah (Kuala Linggi).

Hameed Mytheen Kunju Basheer (Ayer Limau), Zulkiflee Mohd Zain (Taboh Naning), Dr Muhamad Akmal Saleh (Merlimau) dan Siti Faizah Abdul Azis (Sungai Rambai) turut disenaraikan.

“Kita ketengahkan calon yang sebahagian besarnya berusia di bawah 50 tahun, PRN kali ini juga mengetengahkan lima calon wanita,” kata Mohamad yang menegaskan BN akan bertanding di kesemua 28 kerusi DUN secara bersendirian dan menggunakan logo sendiri.

Mohamad berkata calon yang diumumkan itu mendapat persetujuan rakan komponen BN yang lain melalui rundingan.

Calon-calon juga, katanya tidak mempunyai sebarang halangan undang-undang setelah melalui semua tapisan agensi berkaitan.

Beliau menzahirkan keyakinan calon-calon yang terdiri daripada anak muda berpendidikan dengan pelbagai latar belakang profesional dapat diterima rakyat Melaka untuk membina kerajaan negeri yang mantap dan berharap pemilih memberikan mandat kepada BN mengemudi kerajaan negeri pada 20 Nov ini.

Mengenai tindakan yang akan diambil terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN melompat parti selepas mendapat mandat daripada rakyat, Mohamad berkata mereka yang berpaling tadah akan diserahkan kepada mahkamah untuk tindakan susulan.

“Kita akan bawa ke mahkamah dan mahkamah akan tentukan hukuman yang sesuai, ia terpulang pada mahkamah, yang nak melompat parti selepas itu kena fikir dua tiga kalilah,” katanya.

Semalam, Mohamad berkata calon BN yang bakal dipertaruhkan pada PRN Melaka akan menandatangani surat Akuan Bersumpah (SD) bagi mengelakkan tindakan ‘lompat parti’ selepas memenangi kerusi atas tiket parti itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov manakala penamaan calon pada 8 Nov dan undi awal pada 16 Nov, ekoran pembubaran DUN pada 4 Okt lepas susulan empat ADUN menarik sokongan terhadap kepimpinan ketua menteri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here