MELAKA, 12 Nov — Kompaun berjumlah RM4,000 yang dikenakan ke atas individu seperti tular di media sosial bukan disebabkan individu berkenaan memakai pakaian berlogo parti tetapi kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata dalam kes tersebut pasukan pemantauan media sosial telah membuat laporan polis pada jam 6.44 pagi semalam berdasarkan hantaran yang dimuat naik di Facebook dan Twitter mengenai kejadian dipercayai pada 10 Nov.

“Kami dapati gambar-gambar yang dimuat naik dalam media sosial itu terdapat unsur-unsur yang melanggar SOP dan apabila laporan polis dibuat dan kertas siasatan dibuka individu-individu yang dikenal pasti itu dipanggil untuk memberi keterangan.

“Berdasarkan pengakuan yang dibuat oleh subjek (individu yang dipanggil), pihak polis terus mengeluarkan kompaun tersebut dan kompaun yang dikenakan bukan disebabkan kerana memakai baju logo parti tetapi program ‘walkabout’ (tinjauan mesra) yang dijalankan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Abdul Majid berkata dalam kes tersebut telah wujud pelanggaran SOP seperti tiada penjarakan sosial yang melanggar Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) serta SOP oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menetapkan tidak boleh melakukan sebarang program tinjauan mesra untuk berkempen sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Beliau berkata sekiranya individu terbabit tidak berpuas hati dengan jumlah kompaun dikeluarkan, dia boleh mengemukakan rayuan kepada KKM sama ada memohon pengurangan kompaun atau siasatan lanjut oleh agensi berkenaan untuk tindakan seterusnya di mahkamah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here