ANKARA, 14 Feb – Gempa bumi kuat pada 6 Februari lalu yang merupakan paling buruk pernah dialami Turkiye dalam tempoh hampir seabad, menyebabkan Ankara berdepan kemusnahan membabitkan kos mencecah AS$84.1 bilion, menurut laporan Konfederasi Perniagaan dan Perusahaan Turkiye.

Bagaimanapun, pegawai kerajaan menganggarkan kos itu berjumlah lebih AS$50 bilion.

Berdasarkan laporan dikeluarkan Konfederasi Perniagaan dan Perusahaan Turkiye pada hujung minggu lalu, jumlah AS$84.1 bilion itu membabitkan AS$70.8 bilion untuk kos membaik pulih ribuan kediaman, kerugian pendapatan negara (AS$10.4 bilion) serta kerugian kerana tidak dapat bekerja (AS$2.9 bilion).

Katanya, kos utama bakal membabitkan pembinaan semula kediaman, membaik pulih talian dan infrastruktur, serta menyediakan pusat perlindungan jangka pendek, sederhana dan panjang yang diperlukan ratusan ribu penduduk hilang tempat tinggal.

Sebelum ini, Presiden Recep Tayyip Erdogan memaklumkan, pembinaan semula kediaman akan disiapkan dapat tempoh setahun dan kerajaan menyediakan program untuk membangunkan semula negara.

Kira-kira 13.4 juta penduduk di 10 wilayah atau 15 peratus daripada keseluruhan populasi Turkiye, terkesan akibat gempa bumi itu, yang mana ia menyumbang kepada hampir 10 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Setakat ini, bencana itu sudah meragut sejumlah hampir 36,000 nyawa di Turkiye dan Syria. Di samping operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa terperangkap bawah runtuhan, tumpuan turut ditekankan kepada keperluan tempat perlindungan, makanan dan penjagaan psikososial kepada mereka yang terselamat.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Mahmoud Mohieldin, berkata kesan bencana kali ini terhadap KDNK dijangka tidak sama dengan gempa bumi yang melanda pusat perindustrian di barat laut Turkiye pada 1999.

“Selepas berdepan impak awal dalam tempoh beberapa bulan akan datang nanti, pelaburan sektor awam dan swasta dalam pembinaan semula dijangka meningkatkan KDNK pada masa depan,” katanya.

Pegawai dan pakar ekonomi pula menganggarkan insiden tersebut bakal menyebabkan pertumbuhan ekonomi menurun sebanyak dua peratus mata tahun ini memandangkan kerajaan meramalkan pertumbuhan lima peratus pada 2022 dan 5.5 peratus tahun ini sebelum bencana melanda.

Turkiye dijadual mengadakan Pilihan Raya Presiden dan Parlimen menjelang musim panas ini, yang dilihat sebagai cabaran terbesar Erdogan dalam tempoh dua dekad beliau di tampuk pemerintahan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here