KUALA LUMPUR, 15 Nov — Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan kerajaan Malaysia untuk menggantung keputusan berhubung hak kerakyatan bayi yang lahir di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia dan bapa warga asing, berhak mendapat hak melalui pelaksanaan undang-undang untuk menjadi warganegara Malaysia, sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Hakim Datuk Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan pihak-pihak dalam prosiding itu secara dalam talian.

Peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar apabila dihubungi berkata hakim mendapati ibu-ibu yang merupakan plaintif, telah menunggu lama dan mengalami kesukaran dan mereka tidak boleh menunggu sehingga proses rayuan berakhir kerana ia akan menjejaskan plaintif dan menyebabkan mereka terus mengalami kesukaran.

“Hakim Akhtar dalam keputusannya memutuskan bahawa pendirian defendan adalah bercanggah. Di satu pihak, mereka berkata pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan untuk memberikan ibu hak itu harus terlebih dahulu mendapat kelulusan Majlis Raja-Raja. Ini mengandaikan pindaan itu perlu.

“Bagaimanapun, tidak timbul soal pindaan kerana mahkamah telah memutuskan bahawa ibu mempunyai hak di bawah Perlembagaan Persekutuan. Tambahan pula, jika pindaan itu diteruskan, tidak timbul soal menarik balik sebarang dokumen yang dikeluarkan kepada ibu seperti yang diarahkan oleh mahkamah,” kata Gurdial.

Defendan adalah kerajaan Malaysia, Menteri Dalam Negeri dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here