KUALA LUMPUR, Nov 15 — Sebanyak tujuh syarikat tempatan berjaya mencatat jualan berjumlah RM284.4 juta dalam Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) Keempat 2021 yang berlangsung secara hibrid pada 5-10 November lepas.

Syarikat terbabit menawarkan produk dan perkhidmatan seperti pembungkusan dan pengujian untuk industri semokonduktor, mesin peralatan pengujian bagi industri elektronik, kabel dan wayar, peranti perubatan pakai buang serta keperluan barang kemas dan busana pengantin.

Acara tersebut telah diselaraskan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

“Hasil jualan positif yang dicatatkan oleh syarikat-syarikat Malaysia terbabit merupakan bukti permintaan tinggi terhadap produk-produk Malaysia dalam pasaran China, terutama dalam tempoh pasca-pandemik ini.

“Acara CIIE 2021 tersebut juga terus berperanan sebagai platform penting untuk produk-produk import China, terutama dari Malaysia,” kata Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE di Shanghai, Syed Mohamad Fairus Shaik Ismail dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menyifatkan platform tersebut dapat mewujudkan kesedaran serta akses bagi pasaran baharu muncul seperti bandar-bandar peringkat rendah di China.

Pada CIIE kali ini, MATRADE telah mengatur lebih 280 mesyuarat perniagaan antara pempamer dan pembeli berpotensi dari China.

Produk-produk Malaysia yang mendapat permintaan tinggi termasuk pembungkusan, portfolio ujian untuk industri berteknologi tinggi, barang kemas buatan khusus dan busana pengantin.

CIIE 2021 menghimpunkan lebih 3,000 syarikat dari 127 negara dan mengetengahkan 58 pavilion Digital Negara terbabit.

Malah, lebih 280,000 pengunjung perdagangan turut menghadiri pameran dan persidangan acara hibrid itu yang berlangsung pada acara selama enam hari itu.

Menurut MATRADE, China kekal sebagai destinasi eksport terbesar Malaysia pada tahun lepas.

Pada tahun ini, perdagangan dengan China meningkat sebanyak 27.4 peratus tahun ke tahun kepada RM304.1 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama 2021.

Eksport menokok 19 peratus tahun ke tahun kepada RM137 bilion yang disumbangkan oleh peningkatan eksport barangan elektrik dan elektronik, gas asli cecair serta bahan kimia dan produk berasaskannya manakala import dari China melonjak 35.1 peratus kepada RM167.09 bilion.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here