KUALA LUMPUR, 24 Nov — Kementerian Pengangkutan (MOT) hari ini melancarkan buku bertajuk Polisi-Polisi Sistem Pengurusan Antirasuah, Kod Etika dan Tatakelakuan MOT, sebagai sebahagian daripada usaha kementerian itu menangani isu yang berkaitan dengan tadbir urus, integriti dan rasuah secara lebih efektif.

Menterinya Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata buku itu akan menjadi sumber rujukan dan panduan kepada warga kementerian termasuk semua pihak berkepentingan dalam menangani sebarang bentuk penyelewengan, salah guna kuasa serta rasuah.

“Polisi Antirasuah MOT menggariskan visi, misi, pelan antirasuah dan mekanisme pemantauan serta petunjuk prestasi yang hendak dicapai dalam membanteras rasuah di MOT,” katanya menerusi hantaran di akaun rasmi Facebook beliau, hari ini.

Pelancaran buku Polisi-Polisi Sistem Pengurusan Antirasuah, Kod Etika dan Tatakelakuan MOT itu disempurnakan oleh Wee sendiri, dan majlis pelancaran turut dihadiri Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Henry Sum Agong dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.

Mengulas lanjut Wee berkata buku itu turut memuatkan maklumat mengenai polisi antirasuah, pengurusan hadiah, pengurusan pengaruh luar dan surat sokongan, serta pelindungan pemberi maklumat, selaras dengan inisiatif dalam Pelan Antirasuah Organisasi MOT

Katanya buku itu juga mengetengahkan skop tanggungjawab, sasaran yang jelas serta saling melengkapi bagi memartabatkan prinsip tadbir urus terbaik di samping menyemai nilai murni dalam memberikan perkhidmatan berkualiti oleh setiap warga kerja MOT.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here