GEORGE TOWN, 1 Dis — Tokong Thai Pak Koong (Ng Suk) Temple di King Street di sini yang berusia 211 tahun mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila menerima anugerah Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-bangsa (UNESCO) Asia Pasifik bagi pemeliharaan Warisan Kebudayaan 2021.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata anugerah itu diumumkan secara rasmi oleh pejabat UNESCO di Bangkok pada pukul 12 tengah hari ini, sebagai salah satu daripada sembilan projek yang memenangi anugerah terpilih daripada enam negara, yakni Malaysia, Bangladesh, China, India, Jepun dan Thailand.

Beliau berkata projek pemuliharaan itu mendapat pengiktirafan terhadap kecemerlangannya dalam tiga aspek, yakni pemahaman mengenai tempat itu, pencapaian teknikal, dan impak serta kemampanan.

“Bagi pihak kerajaan negeri Pulau Pinang, saya mengucapkan tahniah kepada jawatankuasa pemuliharaan Tokong Thai Pak Koong (Ng Suk) dan Fu De Ci terhadap projek pemuliharaan yang seharusnya diteladani itu, dan kemenangan mereka.

“Projek ini juga pemenang kepada anugerah George Town World Heritage Incorporated Heritage Recognition and Awards 2020 dalam kategori Pemeliharaan, Penambahbaikan dan Adaptasi, sebagaimana yang diumumkan pada April 2021,” katanya dalam satu pengumuman di sini hari ini.

Chow berkata kali terakhir Pulau Pinang memenangi anugerah yang hampir serupa ialah pada tahun 2008 apabila Suffolk House memenangi UNESCO Anugerah Warisan Asia-Pasifik bagi Pemeliharaan Warisan Kebudayaan 2008.

Sementara itu Pengerusi Tokong Thai Pak Koong (Ng Suk) Datuk Lio Chee Yeong berkata proses pembinaan semula serta pemeliharaan tokong mengambil masa 32 bulan bermula pada September 2017 sehingga Disember 2019 dengan menelan belanja kira-kira RM3 Juta.

“Kos bagi projek ini agak tinggi kerana kita menggunakan bahan pembinaanyang diimport dari China. Kita juga mengambil kontraktor serta artis dari China bagi mengekalkan keaslian seni bina tokong. Kita juga mengimport simen kapur kerana ia digunakan sebagai bahan pembinaan sejak era 1900 bagi menambah baik tokong pada masa itu,” katanya.

Beliau berkata kerja-kerja dokumentasi bagi projek itu telah bermula sejak 2015, terutama bagi mengetengahkan komuniti pelbagai komuniti di Malaysia, dan komuniti Cina adalah salah satu darinya.

Menurutnya anugerah itu juga didedikasikan kepada pemelihara warisan bagi projek ini, Tan Yeow Wooi yang meninggal dunia dua hari lepas akibat kanser.

Tokong itu telah dibangunkan sejak 1810, sebagai menyanjungi Thai Pak Koong (atau Tua Pek Kong dalam dialek Hokkien), yakni Dewa Kesejahteraan dabgi komuniti Cina di Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here