JITRA, 4 Mei — Kerajaan Persekutuan bersetuju pada dasarnya dengan cadangan agar status tanah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dipindah kepada pembangunan industri dan komersil.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan mengarahkan perkara itu dibincang dengan lebih lanjut oleh pihak yang berkaitan.

“Kita beri pertimbangan umpamanya cadangan di beberapa kawasan yang asalnya MADA, kalau boleh sedikit dari kawasan itu dipindahkan untuk perumahan atau industri dan perniagaan.

“Itu Kerajaan Persekutuan pada dasarnya bersetuju dan saya minta pegawai-pegawai berunding segera supaya dapat membantu meningkatkan pendapatan negeri Kedah,” katanya semasa berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI peringkat Kedah di sini malam ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor serta beberapa menteri Kabinet.

Anwar berkata Kerajaan Persekutuan juga bersetuju meningkatkan peruntukan bagi projek menaik taraf sistem pengairan di kawasan MADA bagi menjayakan projek penanaman padi lima musim dalam dua tahun.

Beliau berkata peruntukan bagi projek itu, yang sebelum ini membabitkan RM3 bilion, telah dinaikkan kepada RM5 bilion.

Selain itu, Perdana Menteri berkata beliau mahu agar sejumlah 2,500 keluarga miskin tegar di Kedah segera dibantu agar kemiskinan tegar di negeri itu dapat dinoktahkan dalam tempoh dua bulan.

Beliau berkata usaha itu memerlukan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri serta mengarahkan Unit Penyelarasan Pelaksanaan untuk menyelaras.

“Saya percaya insya-Allah, kerjasama ini akan menghasilkan natijah yang baik kerana kita tidak mahu umpamanya negeri-negeri yang kebetulan majoritinya Melayu, umat Islam tetapi masih terdera dengan kesusahan ini dan oleh yang demikian, beri perhatian,” katanya.

Anwar juga berkata Kedah sememangnya antara negeri yang mendapat peruntukan tinggi daripada Kerajaan Persekutuan kerana peranan dan keistimewaannya dari sudut pengeluaran hasil padi yang membantu memelihara keterjaminan makanan negara.

“Tetapi ada masalah yang dibangkitkan kerajaan negeri iaitu ia membebankan kerana kelompok penanam padi ini dalam kalangan miskin yang mesti dibantu… Kerajaan Persekutuan sejak tahun lalu telah meningkatkan (Skim Subsidi Harga Padi) daripada RM350 per tan sebelumnya dinaikkan ke RM500,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa banyak pelabur berminat melabur di Kulim Hi-Tech Park yang menuntut negara menyediakan sumber tenaga yang berkemahiran dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Ini keadaannya, sebab itu saya rasa bagi kita Kerajaan Persekutuan dan negeri tumpukan ini… kita berdepan cabaran menyediakan tenaga kerja yang cukup, kejuruteraan, TVET dan AI (kecerdasan buatan).

“Pada 10 hari bulan ini, saya akan lancarkan Fakulti AI pertama di Malaysia. Saya nak anak-anak muda kita punyai kepakaran serta kemahiran dan akan selaraskan dengan universiti di seluruh Malaysia supaya kita tidak ketinggalan dalam bidang AI,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here