KUALA LUMPUR, 2 Dis — Isu kenaikan harga barangan keperluan mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk bertindak segera dalam mencari penyelesaian terhadap masalah itu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pagi ini beliau dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha KPDNHEP Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad bahawa Perdana Menteri mengarahkan supaya mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol) diadakan secepat mungkin.

“KPDNHEP sedang buat persiapan untuk mesyuarat itu diadakan dalam beberapa hari lagi dan akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri,” katanya ketika menjadi tetamu program Dialog Tiga Penjuru: Runsing Harga Barang ‘Kayangan’ terbitan Astro Awani malam ini.

Menurut Nanta, kementeriannya perlu menguruskan isu tersebut dengan baik supaya bukan sahaja pengguna dilindungi, malah pada masa yang sama peniaga tidak mengalami kerugian sekali gus berhadapan dengan risiko gulung tikar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here