KUALA LUMPUR, 2 Dis — Malaysia dan Jepun sedia untuk bersama-sama memperkukuh hubungan dua hala yang terjalin sekian lama, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata perkara tersebut dipersetujui bersama Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida hari ini dalam perbincangan menerusi panggilan telefon daripada Kishida.

“Kami turut membincangkan perkara-perkara berkepentingan bersama, khususnya mengenai usaha memperkembangkan kerjasama dalam bidang ekonomi, pendidikan, perdagangan, industri pertahanan serta pembangunan sumber manusia,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini. 

Ismail Sabri berkata Malaysia juga mengalu-alukan penubuhan kampus luar negara pertama Universiti Tsubuka di Malaysia oleh negara matahari terbit itu. 

Beliau turut menekankan pendirian jelas dan tegas berkenaan Laut China Selatan dan meminta semua mengelakkan sebarang tindakan berunsur provokatif yang akan menambah ketegangan, mengawal tindakan selain menekankan bahawa perairan tersebut perlu kekal sebagai perairan perdagangan yang aman dan stabil.

Katanya kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai perkembangan terkini di Myanmar dan Semenanjung Korea, Prospek ASEAN mengenai Indo-Pasifik serta Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik.

“PM Kishida dan saya bersetuju untuk mempertingkat rundingan erat bagi memperkukuh kerjasama di bawah Perkongsian Strategik,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here