KUALA LUMPUR, 6 Dis  — Peratusan liputan 4G di kawasan berpenduduk di Pahang meningkat kepada 90.46 peratus pada suku ketiga 2021, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Di Parlimen Cameron Highlands khususnya, beliau berkata liputan 4G meningkat kepada 69.85 peratus pada tempoh sama berbanding 54.43 peratus sebelum pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) pada suku ketiga 2020. 

Beliau berkata apabila semua inisiatif JENDELA Fasa 1 siap, liputan 4G di kawasan berpenduduk di Parlimen Cameron Highlands dijangka meningkat kepada 79.69 peratus menjelang penghujung tahun depan.

“Tidak dinafikan peratusan ini masih rendah berbanding sasaran liputan kebangsaan, namun begitu pihak kementerian sentiasa mengkaji keperluan untuk meningkatkan kualiti dan mengisi kelompongan liputan di bawah pelan JENDELA Fasa 2 kelak, ” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ramli Mohd Nor (BN-Cameron Highlands) mengenai langkah yang akan dilaksanakan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) berikutan capaian internet kurang memuaskan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanah Rata, Jelai dan Cameron Highlands. 

Setakat 31 Okt lepas, Zahidi berkata antara usaha dan inisiatif menambah baik infrastruktur digital termasuk penyiapan tapak menara baharu iaitu masing-masing satu di DUN Jelai dan Cameron Highlands, serta penyiapan projek naik taraf stesen pemancar melibatkan 52 di DUN Tanah Rata, 18 di DUN Jelai dan 70 di Cameron Highlands. 

Melalui pelaksanaan JENDELA di Cameron Highlands juga terdapat projek jalur lebar satelit di 54 kampung Orang Asli yang bermula pada September 2021 dan dijangka siap sepenuhnya penghujung Januari tahun depan. 

Zahidi berkata lebih banyak projek baharu dengan menggunakan pelbagai teknologi akan dirancang bagi meningkatkan liputan kepada 100 peratus di kawasan berpenduduk, selain usaha penambahbaikan rangkaian  diteruskan di kawasan yang mempunyai liputan untuk memberikan kualiti pengalaman lebih baik kepada pengguna.

Katanya, JENDELA akan terus digiatkan bagi memastikan impak pelaksanaannya dapat diterima dengan cepat oleh rakyat, termasuk mengkaji semula secara berkala sasaran awal yang ditetapkan sebelum ini seperti bilangan menara baharu yang akan dibina, stesen pemancar dinaik taraf serta premis yang mendapat akses gentian optik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here