SHAH ALAM, 9 Dis  — Pemberian dos penggalak vaksin COVID-19 secara percuma oleh kerajaan Selangor menerusi Program SelVax Booster, tidak lagi menerima kehadiran secara jumpa terus atau walk in, berikutan permintaan yang tinggi pada hari pertama program berkenaan semalam.

Susulan itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri Dr Siti Mariah Mahmud berkata, warga Selangor yang ingin mendapatkan dos penggalak tersebut wajib melakukan prapendaftaran menggunakan kod baucar di aplikasi SELangkah untuk mendapatkan janji temu.

“Slot janji temu di setiap klinik adalah terhad kepada 150 orang sahaja setiap hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata cara-cara melakukan prapendaftaran dan kod baucar boleh diperoleh menerusi laman sesawang https://bit.ly/selvaxb dan senarai klinik Selcare yang terlibat dalam pelaksanaan program itu terdapat di laman sesawang https://selcareclinic.com/our-clinic/ serta aplikasi SELangkah.

Sebanyak 157,000 dos penggalak vaksin COVID-19 diberikan secara percuma kepada penduduk berumur 18 tahun dan ke atas, yang telah lengkap menerima dua dos vaksin di negeri ini, mulai semalam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here