SEREMBAN, 9 Dis  — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan merekodkan 532 kes melibatkan pelbagai kesalahan dengan rampasan bernilai lebih RM933,000 hasil pemeriksaan ke atas 39,948 premis sejak Januari hingga 7 Dis lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S. Veerapan berkata kesalahan itu termasuk di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, Akta Timbang dan Sukat 1972 dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Daripada keseluruhan kes berkenaan, nilai keseluruhan kompaun dicatatkan adalah berjumlah RM219,000 membabitkan denda sebanyak RM1.34 juta,” katanya kepada pemberita selepas memantau harga barangan sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) di sini hari ini.

Veerapan berkata KPDNHEP negeri turut merekodkan lima aduan tertinggi iaitu 410 berkaitan transaksi dalam talian, perkhidmatan yang mengelirukan (148), harga (147), bengkel kenderaan bermotor (50) dan iklan mengelirukan (28).

Mengulas mengenai SHMKM, beliau berkata seramai 108 anggota penguat kuasa ditempatkan di lokasi tumpuan orang ramai di negeri ini bagi memantau dan mewujudkan ruang persekitaran perniagaan yang selamat serta beretika.

Beliau turut menasihatkan peniaga di negeri ini supaya mematuhi arahan dan beretika dalam menguruskan perniagaan selain tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan di bawah SHMKM.

Katanya pengguna boleh menyalurkan maklumat atau aduan berkaitan peniaga yang tidak mematuhi undang-undang termasuk melalui e-mel di e-aduan@kpdnhep.gov.my dan WhatsApp di talian 019-2794317.

Sementara itu, suri rumah, Rashidah Talib, 44, berkata SHMKM merupakan langkah yang baik dalam menstabilkan harga barangan keperluan susulan kenaikan yang tidak menentu sejak beberapa minggu lepas.

“Kita memang sangat terkesan dengan harga tidak menentu terutama sayur-sayuran dan minyak masak. Jika dahulu harga timun hanya RM4 sekilogram tetapi sekarang dah naik RM7.50 sekilogram, saya harap pihak berkuasa memantau dengan kerap kerana ada peniaga yang menaikkan harga secara tidak munasabah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here