PEKAN, 11 Dis — Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli merasmikan Pusat Hemodialisis Yayasan Al-Sultan Abdullah di sini, hari ini.

Pusat hemodialisis yang ditubuhkan oleh Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) itu merupakan yang pertama di Pahang, dan ketiga setakat ini selepas pembukaan pertama di Cheras pada 7 Ogos 2019, sebelum disusuli di Setiawangsa pada 12 Ogos 2020, dengan kedua-duanya di Kuala Lumpur.

Turut berangkat pada majlis perasmian yang diadakan secara ringkas dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) itu ialah anakanda Seri Paduka Baginda berdua iaitu Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Datuk Ahmad Hairi Hussain.

Pada majlis itu, Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan menyantuni 12 pesakit yang sedang melakukan rawatan selain mengurniakan sumbangan kepada mereka, yang masing-masing menjunjung kasih kepada peluang mendapatkan rawatan di sebuah pusat dialisis yang sangat selesa secara percuma.

Sementara itu, Istana Negara menerusi kenyataan media menyatakan Seri Paduka Baginda berdua terdorong menubuhkan pusat hemodialisis itu kerana prihatin dengan pesakit buah pinggang kronik daripada golongan kurang berkemampuan untuk mendapatkan rawatan hemodialisis, bagi meringankan beban kewangan pesakit terlibat.

“Seri Paduka Baginda berdua menyeru lebih ramai individu dan pihak swasta untuk tampil membantu golongan sasar ini mendapatkan rawatan hemodialisis menerusi tajaan dan subsidi rawatan, lebih-lebih lagi ketika rakyat masih terkesan dengan impak pandemik COVID-19,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyebut Seri Paduka Baginda berdua mendoakan pesakit yang menjalani rawatan hemodialisis, diberikan kekuatan dan kesabaran selain menasihatkan rakyat mengamalkan gaya hidup sihat dan mengelakkan produk yang boleh memudaratkan buah pinggang.

Pusat hemodialisis itu dikendalikan anak syarikat milik penuh MUIP Holdings Sdn Bhd, Klinik Al-Amin Sdn Bhd beroperasi 7 pagi hingga 5 petang pada Isnin hingga Sabtu, dilengkapi dengan 12 mesin dialisis dan berkemampuan mengendalikan lebih 100 pesakit setiap minggu.

Pusat tersebut juga merupakan yang pertama dibangunkan di bangunan wakaf kepada YASA, yang mana Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan penghargaan kepada Pentadbir Harta Pusaka Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah atas sumbangan tersebut.

Seri Paduka Baginda berdua juga menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kementerian Kesihatan, MUIP, agensi kerajaan dan penyumbang seperti MUIP Holdings Sdn Bhd, Yayasan Albukhary, Syarikat Tanah Makmur Berhad, Mazda Medicare Fund di bawah Syarikat Bermaz Auto Berhad dengan usaha sama B.Braun Malaysia yang membantu penubuhan pusat hemodialisis tersebut. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here