KOTA KINABALU, 12 Dis — Kerajaan Sabah memperuntukkan sebanyak RM20 juta dalam Belanjawan Negeri 2022 bagi pembayaran insentif harga getah untuk membantu pekebun kecil dan penoreh getah di negeri itu, kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.

Beliau berkata melalui insentif itu pekebun kecil akan diberi tambahan harga getah RM0.25 sekilogram bagi getah kentalan manakala Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) menyumbang subsidi RM0.05 bagi sekilogram getah kentalan menjadikan RM0.30 bagi sekilogram, bermula tahun depan.

Hajiji berkata dalam Belanjawan 2022, LIGS telah diperuntukkan sebanyak RM5.23 juta bagi perbelanjaan pembangunan selain menerima geran bantuan kerajaan sebanyak RM11 juta. 

“LIGS juga akan meneruskan pembangunan kawasan ladang melalui Program High Impact Project (HIP) Tanam Baru dan Tanam Semula Getah Secara Berkelompok melibatkan 2,333 pekebun kecil.

“Selain itu, program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) dilaksanakan kepada pekebun-pekebun kecil getah melalui empat bidang usaha iaitu tanaman halia, nanas MD2, pisang nipah dan penternakan ikan talapia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata kerajaan negeri melalui LIGS akan mengagih-agihkan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) berjumlah RM51,793,800 kepada 86,323 pekebun kecil di negeri itu dengan pemberian RM600 bagi setiap pekebun kecil.

Katanya pelbagai bantuan turut diberikan termasuk Bantuan Sabah Prihatin (BSP) 1.0 hingga 3.0 secara sekali bayar yang mencecah lebih RM353 juta selain pemberian bakul makanan kepada semua rakyat yang terjejas termasuk pekebun kecil getah sejak akhir tahun lalu.

Malah kerajaan Persekutuan telah meluluskan BMT kepada seluruh pekebun kecil getah di negara ini khasnya di Sabah sebagai usaha dan sokongan untuk meringankan beban mereka. 

“Dengan bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri dan Persekutuan, saya menyeru para pekebun kecil untuk terus mempertingkatkan produktiviti pengeluaran getah mereka.

“Penyaluran BMT ini merupakan salah satu usaha dan keprihatinan kerajaan untuk membantu pekebun kecil dan penoreh getah yang terjejas akibat musim tengkujuh selain akibat penularan pandemik COVID-19,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here