KUALA LUMPUR, 13 Dis  — Sebanyak 65,189 permohonan Bantuan Khas COVID-19 diterima setakat 6 Dis lepas dengan 55,184 daripadanya telah diproses manakala 22,336 permohonan diluluskan melibatkan bantuan RM28.6 juta.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Mastura Mohd Yazid berkata bagi Bantuan Khas Pengurusan Kematian COVID-19, sebanyak 11,816 permohonan diluluskan dengan jumlah bantuan RM56.8 juta.

“Tiada peruntukan khusus pada 2022 daripada kerajaan bagi bantuan ini kerana ia menggunakan Tabung COVID-19 Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang menerima sumbangan daripada orang ramai, korporat, institusi diraja dan anggota pentadbiran,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai statistik terkini permohonan dan kelulusan Bantuan Khas COVID-19 dan bantuan pengurusan COVID-19 di bawah NADMA serta peruntukan kerajaan untuk dua bantuan tersebut bagi 2022.

Sekiranya berlaku gelombang COVID-19 yang seterusnya, Mastura berkata kerajaan akan menambah dana bagi menampung keperluan jika baki tabung COVID-19 NADMA tidak mencukupi untuk membuat bayaran.

Beliau berkata sehingga kini, kerajaan telah menyalurkan bantuan awal bagi COVID-19 sebanyak RM61 juta. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here