SANDAKAN, 12 Dis — Yayasan Kebajikan Negara (YKN) bercadang mewujudkan Anjung Kasih, iaitu penginapan sementara bagi keluarga pesakit kurang berkemampuan di Kelantan dan Terengganu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata ketika ini, 16 Anjung Kasih sudah beroperasi sepenuhnya di negara iaitu tiga di Sarawak, masing-masing dua di Selangor, Pahang dan Pulau Pinang serta masing-masing satu di Negeri Sembilan, Perak, Perlis, Kedah, Melaka, Johor dan Sabah.

“Saya amat menyambut baik dan mengalu-alukan lebih banyak syarikat korporat menghulurkan tangan dan memberikan perkhidmatan sosial yang terbaik dengan menggunakan modaliti pengurusan sosial melalui tanggungjawab sosial korporat dalam semangat Keluarga Malaysia.

“Usaha YKN untuk membantu golongan kurang bernasib baik dan memerlukan pasti berjaya dan memberi implikasi positif terhadap sosial dan ekonomi apabila disokong semua pihak sama ada kerajaan, syarikat swasta atau korporat, badan bukan kerajaan mahupun orang perseorangan,” katanya ketika merasmikan Anjung Kasih Kent Cottage di Hospital Duchess of Kent (HDOK) di sini hari ini.

Rina yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKN berkata penubuhan Anjung Kasih Kent Cottage itu dijayakan dengan tajaan sepenuhnya oleh Petronas berjumlah RM1,003,500.

Kemudahan itu dilengkapi 60 katil, tandas Orang Kurang Upaya (OKU), surau, bilik mandi, ruang makan, bilik mencuci, pantri dan ruang rehat tanpa sebarang caj untuk golongan kurang berkemampuan.

Rina berkata YKN juga akan menubuhkan Anjung Singgah di Sabah tahun depan iaitu penginapan sementara yang memberi khidmat sosial dan intervensi kepada golongan gelandangan yang ingin berubah.

Selain itu, beliau berkata Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) secara bergerak akan diperluas ke Sabah tahun depan bagi membantu masyarakat yang mengalami masalah psikososial, terutama mereka yang terkesan pandemik COVID-19.

Terdahulu, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Shahelmey Yahya berkata kemudahan Anjung Kasih Kent Cottage boleh dimanfaatkan oleh masyarakat luar Sandakan, khususnya di pedalaman yang dirujuk ke HDOK untuk rawatan pakar.

“HDOK merupakan hospital berpakar yang terletak di Sandakan, bandar kedua terbesar di Sabah, dan perkhidmatan rawatan hospital ini turut meliputi kawasan pantai timur Sabah merangkumi Kinabatangan, Beluran dan Telupid.

“Dianggarkan 500 pelawat menziarah pesakit setiap hari di HDOK dengan 10 peratus melibatkan pelawat dari daerah luar ini…kebanyakannya terdiri daripada golong berpendapatan rendah (B40) dan tinggal di kawasan pedalaman,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here