SHAH ALAM, 21 Dis — Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) akan mengagihkan peruntukan pasca banjir kepada usahawan-usahawan yang terjejas di enam negeri dan satu wilayah persekutuan terlibat dalam bencana iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pahang, Kelantan, Terengganu dan Melaka.

Menterinya Tan Sri Noh Omar berkata agihan bantuan dibuat melalui agensinya di bawah Medac, iaitu Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang akan memberi sumbangan kepada mana-mana koperasi yang terjejas dan disarankan untuk menghubungi pejabat SKM yang berada di setiap kawasann. 

“Keduanya adalah melalui Tekun Nasional yang mana kita akan memberikan bantuan kepada mereka yang terjejas ini mengguna pakai Skim Tekun bagi menyalurkan bantuan kepada penjaja-penjaja. 

Ketiga kita akan berikan bantuan kepada golongan peniaga asnaf yang terjejas menggunakan skim bantuan yang berbeza,” katanya kepada pemberita ketika meninjau situasi terkini bencana banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini hari ini.

Berkenaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin membantu mangsa banjir di Taman Sri Muda, Noh berkata beliau mengalu-alukannya, malahan rakyat biasa juga digalakkan menghulur bantuan.

“Namun demikian perlu ada penyelarasan agar bantuan tidak bertindih dan diberi mengikut apa yang dirancang pihak kerajaan, kerana mempunyai bilik gerakan. Jika dapat berganding bahu dengan kerajaan adalah amat baik sekali kerana mungkin juga kerajaan tidak cukup peralatan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here