SHAH ALAM, 23 Dis — Keadaan lokasi serta kepadatan penduduk di Taman Sri Muda, di sini menjadi faktor kelewatan operasi menyelamat mangsa banjir oleh agensi keselamatan pada peringkat awal, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata keadaan banjir di kawasan berkenaan berbeza berbanding situasi bencana itu di negeri-negeri Pantai Timur yang penempatan dan kepadatan penduduknya lebih rendah. 

“Di Shah Alam kebanyakan mangsa banjir tinggal di rumah teres dan pangsapuri yang kepadatan penduduknya berbeza seperti di Kelantan, Pahang dan Terengganu.

“Urusan pemindahan berlaku dengan mudah di negeri-negeri tersebut kerana faktor lokasi, penempatan dan kepadatan penduduk (lebih rendah). Di sini penempatannya pesat dan kami menghadapi cabaran besar,” katanya pada Sidang Media Ops Banjir di sini, hari ini. 

Mengulas lanjut, Acryl Sani berkata bagaimanapun koordinasi semua agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertambah baik dengan setiap anggota terlibat segera digerakkan bagi menyelamatkan mangsa banjir di Taman Sri Muda susulan berlakunya peningkatan.

Beliau turut berkata setakat ini, seramai 66,015 anggota keselamatan pelbagai agensi ditugaskan di tujuh negeri yang dilanda banjir iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, Perak, Melaka, Kelantan dan Negeri Sembilan. 

Dalam pada itu, katanya PDRM akan turun ke pusat pemindahan sementara (PPS) bagi memudahkan mangsa banjir membuat sebarang laporan atau aduan berkaitan insiden jenayah ketika bencana.

Menurutnya beliau telah mengarahkan semua Ketua Polis Daerah yang terlibat melaksanakan langkah itu bagi membolehkan mana-mana mangsa yang ingin membuat laporan, dilakukan secara manual.

“Bagi mangsa banjir yang berada di rumah atas sebab-sebab tertentu, beberapa aset PDRM akan digerakkan untuk mencari mereka dan sekiranya ada aduan maka akan buat laporan di situ,” kata Acryl Sani.

Katanya setakat ini, polis telah menerima tujuh laporan berhubung kejadian pecah masuk melibatkan premis perniagaan di Selangor.

Menjawab isu tular berkaitan sebuah trak tunda yang didakwa mengambil kesempatan mencuri kenderaan mangsa banjir, beliau berkata pihaknya telah menahan seorang lelaki iaitu pemandu trak tersebut bagi membantu siasatan.

Sementara itu, beliau turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat sama ada badan bukan kerajaan (NGO) mahupun sukarelawan yang menyumbangkan bantuan serta tenaga dalam misi bantuan kemanusiaan semasa bencana banjir yang melanda beberapa negeri sejak 17 Dis lepas.

“Saya nyatakan bahawa PDRM amat menghargai segala usaha mereka tanpa meminta sebarang pengiktirafan daripada mana-mana pihak. Mereka adalah wira yang tidak didendang,” kata Acryl Sani.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here