PUTRAJAYA, 30 Mac (Bernama) — Sebanyak 156 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan setakat tengah hari tadi, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes positif di negara ini 2,626 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata terdapat tiga lagi kematian akibat jangkitan itu direkodkan hari ini dengan jumlah kumulatif kematian kini 37 kes.

“Kes kematian ke-35 (kes ke-1952) merupakan seorang perempuan warganegara Malaysia berumur 57 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis.

“Beliau mempunyai sejarah perjalanan ke Indonesia. Beliau telah dirawat di Hospital Sungai Buloh dan disahkan meninggal dunia pada 29 Mac jam 4.00 petang,” katanya pada sidang media harian perkembangan terkini COVID-19, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata kes kematian ke-36 (kes ke-1941) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 47 tahun yang telah dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 23 Mac dan disahkan meninggal dunia pada 30 Mac jam 8.10 pagi. 

“Bagi kes kematian ke-37 (kes ke-2471) merupakan perempuan warganegara Malaysia berumur 46 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan penyakit autoimun.

“Beliau telah dirawat di Hospital Miri, Sarawak dan disahkan meninggal dunia pada 30 Mac jam 9.02 pagi,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 91 kes dibenarkan discaj pada hari ini, iaitu jumlah discaj terbesar setakat ini.

Menyentuh mengenai kapasiti hospital, Dr Noor Hisham berkata jumlah hospital yang menyediakan perkhidmatan saringan COVID-19 di semua negeri telah ditingkatkan kepada 70 hospital berbanding 57 sebelum ini.

Hospital merawat COVID-19 juga bertambah daripada 26 kepada 38 hospital melalui kerjasama Angkatan Tentera Malaysia dan pihak hospital unversiti iaitu Pusat Perubatan Universiti Malaya.

“Tujuh daripada hospital itu merupakan hospital khusus untuk rawatan pesakit COVID-19, justeru, bilangan katil untuk rawatan COVID-19 telah bertambah kepada 3,994 buah katil,” katanya.

KKM juga bercadang menambah bilangan katil menerusi pengenalpastian dan pengubahsuaian Institusi Latihan KKM (ILKKM) untuk menjadi pusat kuarantin dan rawatan dengan jumlah katil sebanyak 1,937 buah, selain mengenal pasti fasiliti lain seperti Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) yang berupaya menyediakan 600 katil. 

Sementara itu, Dr Noor Hisham menasihatkan individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara supaya mengasingkan diri daripada bergaul rapat dengan ahli keluarga atau orang yang tinggal serumah selama 14 hari, 24 jam sehari.

Dalam tempoh itu mereka dinasihatkan supaya mengambil langkah pencegahan seperti amalan kebersihan diri yang baik, kerap mencuci tangan dan menjarakkan diri sekurang-kurangnya satu meter daripada orang lain.

“Dalam tempoh 14 hari itu, anda juga diminta memantau diri untuk sebarang gejala seperti demam, batuk, selesema, sakit tekak atau sesak nafas dan sekiranya anda mengalami mana-mana gejala tersebut, segera buat panggilan ke fasiliti kesihatan terdekat dan maklumkan status anda kepada petugas kesihatan di fasiliti kesihatan tersebut,” katanya. 

Bagi individu yang telah diarahkan supaya menjalani pengawasan dan pemantauan di rumah, mereka diminta mematuhi tatacara Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di rumah yang telah ditetapkan kerana ia termaktub dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here