KUALA LUMPUR, 23 Dis  — Tahun 2021 bukan hanya menyaksikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus memainkan peranannya mempertahankan ibu pertiwi daripada serangan musuh negara tetapi pegawai dan anggotanya dengan pelbagai kepakaran dan kemahiran turut menjadi barisan hadapan dalam menangani serangan musuh halimunan, virus COVID-19. 

ATM turut bertungkus lumus menggalas pelbagai tugas dalam membantu memerangi pandemik yang menyerang negara ini, antaranya membina hospital medan di negeri-negeri dengan jumlah pesakit yang dimasukkan ke hospital melebihi kapasiti bagi menampung pesakit COVID-19.

Antara hospital medan yang dibina ATM ialah di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Hospital Melaka, Hospital Pulau Pinang, Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru, Hospital Kepala Batas Pulau Pinang, Kapit, Sarawak dan Tawau, Sabah.

Selain itu, satu Pasukan Bertindak Khas atau dikenali sebagai Greater Klang Valley Special Task Force (GKV STF) yang melibatkan Tentera Darat (TDM) diwujudkan bagi melaksanakan pelan tindakan yang lebih efektif, cepat dan menyeluruh ke atas sistem perkhidmatan kesihatan sedia ada bagi mengurangkan kadar kematian akibat kelewatan pesakit mendapat rawatan di hospital.

Ia bertindak untuk melaksanakan mandat yang diberikan di kawasan Lembah Klang termasuk utara Negeri Sembilan, barat Pahang dan selatan Perak yang terdiri daripada pakar-pakar kesihatan dan perubatan, logistik perubatan dan pentadbiran di bawah Perkhidmatan Kesihatan ATM.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata  penglibatan anggota TDM dalam GKVSTF sangat efektif dan memberi impak yang besar, sekali gus membantu Kementerian Kesihatan (KKM) dalam menangani situasi COVID-19 di semua hospital di Lembah Klang terutama ketika kemuncak krisis.

Katanya melalui pengoperasian itu, TDM telah mengatur gerak 1,080 anggota bagi melakukan pelbagai penugasan dalam kawasan Zon Merah COVID-19 di hospital Lembah Klang.

Ia merangkumi menugaskan “Oxygen Carrier Team” (OSCAR) bagi membantu proses mengangkat, mengisi semula dan menukar ganti 14,258 silinder oksigen, serta menempatkan “Rapid Resupply Team” (RRT) bagi membantu proses pengambilan dan pengedaran peralatan perubatan yang kritikal.

TDM juga mengatur gerak “Body Management Team” (BMT) yang telah membantu mengurus 4,442 mayat pesakit COVID-19, yang membolehkan urusan pengendalian mayat dipercepatkan terutama ketika kemuncak krisis pandemik di Lembah Klang.

Hishammuddin berkata antara langkah ATM membantu KKM ialah menerusi inisiatif pasukan vaksinasi perubatan kombat yang terpaksa menempuhi perjalanan sukar untuk masuk ke kawasan pedalaman khususnya di Sabah dan Sarawak bagi membantu Kementerian Kesihatan (KKM) memberi vaksin. 

“Alhamdulilah, hasil usaha pasukan itu, seramai 25,092 penduduk pedalaman telah dapat divaksinasi serta pelaksanaan vaksinasi pandu lalu iaitu dalam tempoh tidak sampai dua bulan seramai 14,097 remaja menerima vaksinasi lengkap hasil daripada inisiatif ini, katanya.

Tahun 2021 juga menyaksikan Hishammuddin yang merupakan Menteri Kanan Luar Negeri dalam Kabinet Perdana Menteri Kelapan Tan Sri Muhyiddin Yassin kembali menerajui Kementerian Pertahanan apabila dilantik Menteri Kanan Pertahanan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Hishammuddin pernah menjawat jawatan Menteri Pertahanan pada tahun 2013.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan (MINDEF) menjangkakan Tentera Laut Diraja Malaysia memperoleh kapal tempur pesisir pantai (LCS) yang pertama pada tahun 2025.

Hishammuddin menyatakan beliau mengambil pendekatan inklusif untuk melibatkan semua pihak berkepentingan seperti Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Boustead Holdings Bhd untuk menyelesaikan masalah dalam perolehan kapal LCS berkenaan.

Inisiatif penyelesaian itu menggariskan dua komponen utama iaitu penstrukturan semula korporat dan pengumpulan dana yang turut melibatkan perbincangan dengan Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri.

Tahun 2021 turut digemparkan dengan insiden empat anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) maut dalam kejadian tembakan di Balai Pengawal TUDM di Kota Samarahan, Sarawak pada 13 Ogos lepas.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Mancha Ata berkata kejadian berlaku apabila seorang anggota tentera merampas senjata api dari tempat simpanan senjata api balai pengawal itu dan menembak tiga rakannya sebelum menembak dirinya sendiri.

Turut mendapat perhatian di tengah-tengah pandemik wabak COVID-19 ini adalah nahas sebuah pesawat Hawk 108 TUDM di landasan Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang pada 16 Nov yang mengorbankan juruterbang Kapt Mohamad Affendi Bustamy manakala Mejar Mohd Fareez Omar cedera ketika mereka  sedang menjalani latihan penerbangan malam.

Berikutan itu kerajaan merancang secara sistematik penggantian pesawat Hawk 108 dan Hawk 208 seperti yang digariskan dalam Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 atau dikenali sebagai CAP55. 

Kerajaan memulakan proses penggantian dengan meluluskan perolehan baharu pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA) melalui Rolling Plan 1, 2021. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here