TEMERLOH, 24 Dis — Bandar Mentakab tidak ubah seperti lautan ‘teh tarik’ tanpa kelihatan lagi ketamadunan manusia.

Tinjauan udara Bernama bersama Pasukan Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mendapati, bandar seluas 10,000 hektar yang terletak ditengah-tengah negeri Pahang Darul Makmur itu seakan-akan hilang dari pandangan mata, dek kerana banjir besar yang ‘menyerang’ bandar itu pada Ahad.

Lebih memilukan, biarpun cuaca cerah mulai menyinari bandar itu sejak Rabu, tetapi tiada tanda banjir itu akan menyurut dengan cepat.

Bagi penduduk Mentakab Sarimah Derami, 57, yang melalui pengalaman banjir sebanyak dua kali pada tahun ini, merasa fobia setiap kali hujan lebat membasahi bandar itu.

Kejadian pertama pada Januari lalu telah menyebabkan rumahnya di Bangau Tanjung, di sini ditengelami air sekali gus memusnahkan hampir keseluruhan harta bendanya.

“Setiap kali hujan lebat lebih dua jam pasti air akan naik, sampai bila kami (penduduk) di sini perlu lalui semua ini, barang di rumah belum cukup setahun lagi… kini dah tenggelam lagi. Hujan lebat berterusan dua hari sahaja sudah banjirkan kawasan ini berbanding hujan lima hari pada kejadian banjir awal tahun lepas.

“Saya harap sangat satu tindakan yang lebih baik boleh dilakukan dalam mengatasi masalah banjir di Mentakab ini,” katanya ketika ditemui Bernama, hari ini.

Awal Januari lepas, landskap bandar Temerloh termasuk Mentakab berubah seperti air sungai yang keruh berwarna lumpur, susulan banjir besar yang melanda daerah sehingga menenggelamkan sebahagian besar penempatan penduduk, dengan air naik melepasi paras bumbung bangunan.

Setakat 10 pagi ini, Pahang mencatatkan seramai 34,390 orang yang ditempatkan di 245 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri itu.

Tidak terus berduka dengan apa yang telah berlaku, seorang mangsa banjir Saharudin Othman mengorak langkah baharu bagi menjana pendapatkan keluarga.

Usahawan berusia 44 tahun itu tidak patah semangat dan menggunakan kesempatan yang ada dengan menjala ikan di Sungai Semantan, yang akhirnya memberikan hasil apabila tangkapannya berjaya dijual kepada penduduk setempat.

“Kawasan rumah saya di Kampung Lompat, Mentakab juga dinaiki air dan saya tidak boleh berdiam diri sahaja, untuk menyara keluarga dalam musim banjir ini.

“Saya bersyukur apabila hasil tangkapan saya antaranya ikan jenis patin dan baung dibeli oleh penduduk yang turut terjejas akibat banjir, sehingga boleh menjana pendapatan sehingga RM400 sehari,” katanya.

Saharudin menambah, dia bersyukur pelbagai bantuan dari anggota penyelamat dan badan bukan kerajaan di terima penduduk setempat, dan berterima kasih dengan kemurahan hati rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here