PARIT BUNTAR, 8 Feb  — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kurau menahan sebuah bot nelayan tempatan bersama tiga kru warga Thailand di kedudukan 12.8 batu nautika barat daya Pulau Terong, Perak, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali berkata semasa rondaan rutin, bot ronda Maritim Malaysia telah mengesan bot suspek sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan dan diarahkan berhenti untuk pemeriksaan.

“Tiga kru termasuk tekong berada di atas bot terbabit dan kesemua mereka adalah warga Thailand berusia lingkungan 40 hingga 51 tahun. Pemeriksaan lanjut mendapati, dokumen pengenalan diri yang dikemukakan mereka meragukan keabsahannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Sharenliza berkata 100 kilogram (kg) ikan baja turut ditemukan semasa pemeriksaan ke atas bot dilakukan.

Katanya kesemua lelaki tersebut berserta bot, peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan ikan baja dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985, kerana menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here