JOHOR BAHRU, 9 Feb — Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) ditawarkan untuk bertanding di enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

Perkara itu dimaklumkan dalam kenyataan bersama hari ini yang ditandatangani Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Menurut kenyataan itu, MUDA akan bertanding di kerusi DUN Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai.

“DAP bersetuju memberi dua kerusi kepada MUDA untuk bertanding iaitu Machap dan Bukit Permai manakala DUN selebihnya diberikan oleh Amanah. Sementara itu, rundingan antara MUDA dan PKR sedang diteruskan demi kesepaduan menghadapi PRN ini,” menurut kenyataan itu.

Enam kerusi itu sebelum ini ditandingi Bersatu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 di bawah Pakatan Harapan (PH).

Ketiga-tiga parti itu juga mencapai tiga matlamat utama termasuk memastikan tiada pertindihan kerusi antara calon masing-masing, selain turut bersetuju bergerak sebagai rakan strategik pilihan raya walaupun MUDA tidak menyertai Pakatan Harapan (PH)

“Pimpinan Amanah, DAP dan MUDA percaya bahawa pakatan pilihan yang dijalin menerusi rundingan ini akan membawa suara rakyat Johor dengan cemerlang selaras dengan agenda Johor Bangkit agar PRN Johor adalah untuk masa depan rakyat dan bukanlah perebutan kuasa dan jawatan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh berkata PKR bersetuju menawarkan tiga kerusi kepada MUDA untuk bertanding pada PRN tersebut.

Beliau berkata keputusan itu dicapai melalui tiga siri rundingan dengan MUDA dan ia selari dengan hasrat yang dinyatakan Majlis Presiden PH serta PH Johor.

“Dalam siri rundingan tersebut, masing-masing memberi pandangan secara jujur dan terbuka.

“Hasil rundingan itu, PKR menawarkan tiga kerusi kepada MUDA dan sedang menunggu maklum balas berhubung tawaran tersebut,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here