KUALA LUMPUR, 16 Feb — Pelaksanaan inisiatif Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara Malaysia dan Brunei banyak memberi kelegaan kepada rakyat kedua-dua negara itu dalam urusan pergerakan rentas sempadan.

Seorang warga Brunei Mohd Aliyusri Emran berkata VTL dapat membantu memudahkan pergerakan keluar masuk rakyat kedua-dua negara yang sebelum ini terkandas disebabkan pandemik COVID-19.

Penjawat awam berusia 28 tahun itu berkata selain itu VTL juga ia dapat mengukuhkan ekonomi kedua-dua negara kerana urusan rentas sempadan kini dipermudahkan.

“Ada kenalan saya tinggal di Malaysia tapi nak datang ke Brunei memerlukan urusan yang sedikit sukar. Insya-Allah dengan adanya VTL akan memudahkan lagi urusan keluar masuk ke Malaysia dan Brunei,” katanya kepada pemberita hari ini.

Semalam, Malaysia dan Brunei secara dasar bersetuju untuk melaksanakan VTL udara dan darat bagi pergerakan rentas sempadan antara kedua-dua negara menerusi perbincangan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman di Bandar Seri Begawan, Brunei.

Sultan Brunei juga dilaporkan bersetuju mengiktiraf penggunaan MySejahtera dan BruHealth di kedua-dua negara bagi memudahkan integrasi sistem dan penggunaan oleh rakyat Malaysia dan Brunei.

Mohd Aliyusri berkata dengan pengiktirafan kedua-dua aplikasi itu rakyat Brunei yang ingin ke Malaysia tidak perlu lagi memuat turut aplikasi MySejahtera manakala rakyat Malaysia ke Brunei tidak perlu memuat turut aplikasi BruHealth.

Sementara itu seorang warga Malaysia di Brunei Suriani Lurin, 48, berkata pemakluman pelaksanaan VTL itu memberi khabar gembira kepada rakyat dan penduduk Brunei termasuk yang mempunyai keluarga dan saudara di Malaysia.

“Memang sangat gembira mendengar makluman itu, sebabnya Brunei dan Malaysia berdekatan dan macam sebuah keluarga, mungkin dengan adanya persetujuan itu akan dapat dilaksanakan pembukaan sempadan Brunei dan Malaysia,”katanya ketika dihubungi.

“Macam saya, memang ada keluarga di Malaysia, jadi yang pertama – saya nak ke Labuan. Mungkin juga akan bawa keluarga pergi ke Semenanjung seperti Kuala Lumpur sebab sudah lama tidak dapat keluar dari Brunei, sudah dua tahun lebih sejak bermula COVID-19,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here