KUALA LUMPUR, 18 Feb — Perdagangan Malaysia pada Januari 2022 terus berdaya tahan, meningkat 24.8 peratus kepada RM203.05 bilion berbanding Januari 2021, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Dalam kenyataan hari ini, MITI berkata eksport naik 23.5 peratus kepada RM110.73 bilion, pertumbuhan dua angka untuk bulan keenam berturut-turut sejak Ogos 2021 manakala import meningkat 26.4 peratus kepada RM92.32 bilion dan lebihan dagangan berkembang 10.9 peratus kepada RM18.4 bilion pada Januari 2022.

Katanya pertumbuhan eksport disumbangkan oleh peningkatan permintaan global terutamanya bagi barangan elektrik dan elektronik (E&E) serta minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.

Sementara itu, eksport ke rakan dagang utama khasnya ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun merekodkan pertumbuhan dua digit. 

Berbanding Disember 2021, perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan, masing-masing menyusut sebanyak 6.3 peratus, 10.6 peratus, 0.6 peratus dan 40.6 peratus, disebabkan kesan asas yang tinggi dan faktor bermusim berikutan cuti sempena tahun baru. 

“Pada Januari 2022, kesemua sektor eksport utama telah merekodkan pertumbuhan dua digit tahun ke tahun, disokong oleh kenaikan eksport yang ketara bagi hampir kesemua barangan utama.

“Eksport barangan perkilangan yang merangkumi 85.5 peratus daripada jumlah eksport berkembang 19.3 peratus kepada RM94.67 bilion,” katanya.

MITI berkata barangan E&E, barangan perkilangan logam, keluaran petroleum, kimia dan bahan kimia, barangan perkilangan berasaskan minyak sawit serta jentera, kelengkapan dan peralatan, masing-masing mencatatkan peningkatan eksport melebihi RM1 bilion.

Eksport keluaran pertanian (7.9 peratus syer) melonjak 75.6 peratus kepada RM8.77 bilion, pertumbuhan dua digit yang ke-11 bulan berturut-turut dicatatkan sejak Mac 2021.

Kenaikan ini disokong oleh eksport yang kukuh bagi minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit. 

Eksport hasil galian (6.2 peratus syer) naik 38.4 peratus kepada RM6.82 bilion, pertumbuhan dua digit yang ke-10 bulan berturut-turut sejak April 2021. Peningkatan ini disumbangkan oleh pertambahan eksport gas asli cecair (LNG).

Pada Januari 2022, perdagangan dengan ASEAN yang mewakili 25.7 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia berkembang 21.4 peratus tahun ke tahun kepada RM52.23 bilion.

MITI berkata eksport meningkat 19.5 peratus kepada RM30.76 bilion berikutan eksport yang kukuh bagi keluaran petroleum dan barangan E&E manakala import dari ASEAN naik 24.2 peratus kepada RM21.48 bilion.

“Eksport ke hampir semua negara ASEAN merekodkan peningkatan ketara terutamanya ke Singapura yang berkembang sebanyak RM2.11 bilion, disumbangkan oleh kenaikan eksport keluaran petroleum.

“Eksport ke Thailand dan Vietnam, masing-masing mencatatkan pertambahan sebanyak RM902.2 juta dan RM689.4 juta, berikutan kenaikan eksport barangan E&E, Indonesia (+RM850.2 juta, keluaran petroleum) serta Filipina (+RM240.5 juta, minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit),” katanya.

Selain itu, perdagangan dengan China naik 33.7 peratus tahun ke tahun kepada RM39.99 bilion pada Januari 2022, merupakan pertumbuhan dua digit yang ke-14 bulan berturut-turut. 

“Eksport ke China meningkat 28.7 peratus kepada RM16.88 bilion, pertumbuhan dua digit yang kelima bulan berturut-turut sejak September 2021, dipacu oleh eksport yang kukuh bagi barangan E&E dan LNG.

“Import dari China berkembang 37.6 peratus kepada RM23.12 bilion,” katanya.

Menurut MITI, perdagangan dengan AS pada Januari 2022 yang merangkumi 9.1 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia berkembang 16.2 peratus tahun ke tahun kepada RM18.51 bilion. 

Eksport naik 17.7 peratus kepada RM12.14 bilion, pertumbuhan dua digit yang keenam bulan berturut-turut sejak Ogos 2021, disumbangkan terutamanya oleh kenaikan eksport barangan E&E.

Import dari AS naik 13.3 peratus kepada RM6.37 bilion, pada Januari 2022.

Katanya perdagangan dengan EU yang merangkumi 8.1 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia pada Januari 2022 meningkat 24.5 peratus tahun ke tahun kepada RM16.46 bilion, merupakan pertumbuhan dua digit yang ke-12 bulan berturut-turut.

“Eksport berkembang 14.6 peratus kepada RM9.19 bilion disokong oleh kenaikan eksport barangan E&E, minyak sawit dan keluaran berasaskan minyak sawit serta barangan besi dan keluli.

“Import dari EU naik 40 peratus kepada RM7.27 bilion,” katanya.

Sementara itu, perdagangan dengan Jepun yang mewakili 6.3 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia meningkat 10.2 peratus tahun ke tahun kepada RM12.85 bilion pada Januari 2022.

Eksport naik 10 peratus kepada RM7.13 bilion, pertumbuhan dua digit tahun ke tahun yang ke-11 bulan berturut-turut sejak Mac 2021, disumbangkan oleh eksport yang kukuh bagi barangan perkilangan logam, LNG serta barangan besi dan keluli.

Import dari Jepun berkembang 10.5 peratus kepada RM5.72 bilion.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here