ALOR SETAR, 9 Mac  — Kedah mencatatkan sebanyak 158 kes demam denggi bagi tempoh 1 Jan hingga 6 Mac lepas, iaitu peningkatan sebanyak 101 atau 177.2 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lepas.

Pengarah Kesihatan Negeri Dr Othman Warijo berkata sebanyak 16 wabak denggi dicatatkan bagi tempoh tersebut berbanding hanya dua wabak bagi tempoh sama pada tahun 2021.

“Walaupun jumlah wabak bertambah, namun ia berjaya dikawal dalam tempoh dua minggu. Antara faktor utama peningkatan kes denggi di Kedah adalah kekerapan hujan serta peningkatan pergerakan penduduk berbanding tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 dan 2021.

“Aktiviti pencegahan dan kawalan sentiasa dijalankan di semua lokaliti kes bagi memutuskan rantaian jangkitan. Antaranya, pemeriksaan premis, semburan kabus, penghapusan tempat pembiakan dan pendidikan kesihatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Othman berkata sehingga 6 Mac sebanyak 65,890 premis telah diperiksa dan 941 kompaun telah dikeluarkan kepada pemilik premis di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 dengan nilai keseluruhan kompaun RM446,550.

Menurutnya, bagi mencegah penularan denggi, masyarakat perlu membersihkan persekitaran dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes di kediaman dan premis masing-masing setiap minggu serta menggunakan semburan aerosol bagi membunuh nyamuk dewasa di dalam rumah.

“Mereka juga boleh menggunakan repelan (bahan penjauh) serta meletakkan ubat jentik-jentik dalam bekas takungan air. Sekiranya mengalami tanda awal demam denggi seperti demam, sakit sendi dan ruam, segera dapatkan rawatan di klinik kesihatan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here