PORT DICKSON, 13 Mac — Seramai 40 orang wanita dari golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) dari seluruh negara menerima latihan dalam bidang perniagaan menerusi Program ‘Disruptive Womanization’ 2022 anjuran Sampurna Malaysia (SAMPURNA).

Pengerusi SAMPURNA Dr S. Manimaran berkata program tersebut, yang bermula Jumaat lepas dan berakhir hari ini, dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Wanita di bawah naungan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Beliau berkata pihaknya komited membantu usahawan wanita terpilih dan membantu golongan itu supaya lebih berdaya saing dalam bidang perniagaan. 

“Keutamaan diberikan kepada ibu tunggal dan golongan B40 menerusi temu duga yang dijalankan dan menerusi program ini, peserta didedahkan dengan latihan serta bimbingan untuk menjalankan perniagaan,” katanya kepada Bernama selepas Majlis Penganugerahan Sijil Projek ‘Disruptive Womanization’ 2022 di sini hari ini.

Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mohd Radhi Abdul Razak.

Manimaran berkata menerusi program itu, peserta turut digalakkan untuk mengambil berat tentang aspek kesihatan diri, kekeluargaan dan kepimpinan.

Beliau berkata antara program yang dijalankan adalah bengkel dan seminar, termasuk secara dalam talian, bagi membantu peserta menerokai pemilikan perniagaan yang berwibawa dan cekap dalam pengurusan kewangan masing-masing.

Katanya para peserta juga akan terus menerima bimbingan, selain program-program lanjutan lain daripada SAMPURNA selama setahun.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here