KUALA LUMPUR, 14 Mac — Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Mestron Energy Sdn Bhd (MESB) menjalinkan perkongsian strategik menerusi Perjanjian Pembangunan Bersama bagi pengkomersialan tiang lampu jalan berkuasa solar.

Menerusi kenyataan bersama hari ini, UTP dan MESB memaklumkan produk dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dan Kecerdikan Buatan (AI) itu, adalah untuk pemantauan visual oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), selain memberi peluang kepada pengguna lain membuat pemantauan keselamatan, kesihatan dan lain-lain dengan kos lebih rendah dan efektif.

Menurut kenyataan itu, teknologi tersebut akan dibangunkan, dipantau serta ditambah baik secara berterusan oleh pihak UTP dan MESB.

“Produk tersebut boleh ditempatkan di kawasan-kawasan yang tidak mempunyai bekalan elektrik seperti tebing sungai, tempat pembuangan sampah haram serta simpang jalan utama yang menjadi permasalahan kepada rakyat.

“Dengan kuasa kecerdikan buatan secara maya, amaran melalui aplikasi WhatsApp dan sistem pesanan ringkas (SMS) adalah (dihantar) terus kepada Pegawai Penguasa yang berkenaan secara ‘real time’ atau waktu sebenar dan melalui amaran awal tersebut, ia membolehkan tindakan pantas diambil,” menurut kenyataan itu

Pengkomersialan tiang lampu jalan berkuasa solar itu dijangka selesai Mei ini dan dipasarkan di Malaysia oleh MESB.

Produk tersebut boleh dibeli secara terus atau menerusi pajakan selama tujuh tahun bagi PBT dan agensi kerajaan lain di bawah skim Perbankan Islam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here