KUALA LUMPUR, 14 Mac — Kerajaan berkemungkinan besar tidak akan menamatkan langkah pemberian subsidi bahan api pada masa ini berikutan keadaan ekonomi semasa, kata seorang ahli akademik.

Penganalisis Ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata ini susulan keadaan ekonomi domestik yang masih belum reda daripada impak pandemik serta kejadian banjir besar yang berlaku pada Disember lepas.

Beliau turut menegaskan bahawa pemulihan ekonomi negara sebagai amat penting bagi mencapai sasaran pertumbuhan sekitar 6.0 bagi 2022 menerusi pelaksanaan pelbagai pendekatan, termasuk fasa peralihan ke endemik ketika Malaysia membuat persiapan sewajarnya untuk membuka semula sempadan pada 1 April ini.

“Sehubungan itu, kerajaan dijangka akan terus berusaha untuk menampan tekanan bagi mengurangkan atan menamatkan subsidi berkenaan, bukan hanya untuk bahan api tetapi juga bagi gas petroleum cecair, minyak masak serta bahan makanan.

“Dari perspektif politik pula, sebarang langkah menamatkan subsidi ini adalah sesuatu yang kurang popular bagi rakyat dan boleh dijadikan bahan untuk pihak lain mempengaruhi rakyat dengan sentimen yang tidak menyokong kerajaan sekarang,” katanya kepada Bernama.

Impak Inflasi, Harga Komoditi

Menyentuh aspek inflasi, Aimi Zulhazmi berkata kenaikan kadar inflasi domestik tidak dapat dielak dan sejajar dengan peningkatan di peringkat global susulan pembukaan semula ekonomi pada suku kedua 2021 ketika rantaian bekalan global terus terjejas akibat COVID-19 dan mendorong lonjakan harga komoditi.

Menurutnya, serangan ketenteraan Rusia ke atas Ukraine telah memburukkan lagi ekonomi global yang tidak menentu dan menyebabkan hampir semua komoditi melonjak dan mencecah paras tinggi baharu.

“Sama ada kerajaan perlu mengurangkan atau menamatkan subsidi bahan api ini (pasti) akan memberi kesan ke atas harga dalam seluruh segmen rantaian bekalan terbabit.

“Perlu diingatkan juga walaupun harga bahan api telah kekal bagi tempoh melebihi setahun, harga barangan sebaliknya terus meningkat. Oleh itu, bayangkanlah bagaimana harganya kelak jika harga bahan api itu diselaras semula,” katanya.

Sementara itu, MIDF Research pula menjangkakan tekanan inflasi itu kekal stabil walaupun dalam persekitaran harga makanan yang tidak menentu.

Pada Januari 2022, inflasi teras telah menyederhana kepada 2.3 peratus bagi tahun ke tahun, terendah dalam tempoh empat bulan susulan penurunan inflasi bukan makanan yang mencecah paras 1.7 peratus dan terendah dalam tempoh 10 bulan.

“Inflasi bukan makanan yang lebih perlahan itu terutamanya disebabkan oleh kesan asas rendah inflasi bahan api yang semakin berkurangan. Jika kerajaan terus mengekalkan kekangan harga bahan api, kita dijangka menyaksikan penyederhanaan inflasi tenaga secara berterusan pada tahun ini,” katanya dalam nota tinjauan hari ini.

Sebaliknya, MIDF Research menjangkakan lonjakan harga komoditi yang didorong oleh konflik Ukraine-Rusia itu akan memberi impak langsung dan tidak langsung ke atas inflasi makanan global serta harga makanan di Malaysia yang banyak bergantung kepada produk-pruduk makanan import.

“Namun, kami percaya usaha melibatkan subsidi bahan api ini akan lebih ketara berbanding kenaikan inflasi makanan, sekali gus tekanan inflasi berkenaan diunjur dalam lingkungan 2.0-3.0 peratus pada 2022,” katanya.

Pelaksanaan Semula Mekanisme Penetapan Harga Secara Mingguan

Dalam pada itu, Aimi Zulhazmi berkata kerajaan pada masa ini juga berkemungkinan besar tidak membuat sebarang keputusan berhubung perkara termasuk aspek mekanisme penetapan harga bahan api secara mingguan sehinggalah keadaan politik terbukti lebih stabil.

Malah, beliau berpendapat adalah wajar bagi kerajaan untuk menumpukan dan melaksanakan usaha penguatkuasaan lebih tegas bagi menangani ketirisan ketara membabitkan subsidi bahan api tersebut.

“Jika dilihat, ada dua masalah utama iaitu penyeludukan bahan api ke negara-negara jiran dan jualan diesel secara haram dari stesen minyak ke kilang-kilang yang sepatutnya membeli bahan api berkenaan pada harga komersial dan bukannya bersubsidi.

“Kerajaan perlu memastikan tiada sebarang ketirisan subsidi yang berleluasa apabila diesel bersubsidi bagi jualan runcit di stesen-stesen minyak sebaliknya dijual secara haram kepada kilang-kilang komersial.

“Oleh itu, penalti lebih berat perlu dikenakan ke atas peniaga yang bersubahat dengan sindiket terbabit dengan tindakan seperti pembatalan lesen dan mengenakan perintah kebankrapan terhadap pembekal dan pembeli yang bersubahat. Ini kerana, perbuatan itu memerlukan pembabitan kedua-dua pihak,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here