KUALA LUMPUR, 16 Mac — Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) meluaskan Program Sawah Berskala Besar (SMART SBB) kepada 12 lokasi penanaman padi di seluruh negara berbanding empat lokasi pada awal tahun lepas dengan penglibatan hampir 465 pesawah.

Ketua Jabatan Pengurusan Ladang BERNAS, Norhisham Abdul Rahman dalam  kenyataan memaklumkan antara lokasi terlibat ialah di Sungai Batu Pahat dan Titi Tinggi, Perlis; Bukit Besar, Kedah; Sungai Manik, Perak; Tok Kamis dan Jelor, Pasir Putih, Kelantan; Gong Dasar, Terengganu; Gancong Hulu, Rompin, Pahang; Batang Lupar, Sarawak dan Kampung Kalumbai, Kota Belud, Sabah.

“Sehingga kini, BERNAS telah berjaya membentuk kerjasama yang baik dengan hampir 465 pesawah berdaftar. Apa yang pasti, program ini tidak mungkin berjaya tanpa komitmen tinggi daripada mereka.

“Usaha kolektif secara berterusan ini penting dalam mendedahkan pesawah tempatan dari segi pembangunan dan pengamalan teknologi pengurusan tanaman padi yang bersesuaian dengan perkembangan semasa, sekali gus mencapai objektif mentransformasi sektor padi dan beras negara,” katanya.

SMART SBB yang menerapkan amalan pertanian lestari adalah program kerjasama antara Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), syarikat-syarikat peneraju seperti BERNAS dan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).

Turut bekerjasama sebagai rakan pembimbing adalah agensi pertanian utama seperti Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA); Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA); Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA); Jabatan Pertanian Negeri (JPN); Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

Norhisham berkata sebagai perintis amalan pertanian lestari dalam sektor penanaman padi, BERNAS turut bekerjasama dengan agensi kerajaan dan institusi pengajian tinggi tempatan bagi mendapatkan khidmat nasihat serta kepakaran dalam bidang berkaitan.

Selain itu, menurutnya pelbagai inisiatif sedang dilaksanakan secara berperingkat seperti amalan kejuruteraan ekologi dalam Pengurusan Perosak Bersepadu (IPM), penggunaan jentera moden yang berupaya memelihara kelestarian tanah, teknologi dron, pengamalan jadual kerja ladang lebih sistematik dan pelbagai amalan pertanian baik lain.

“BERNAS percaya ini adalah suatu perancangan tepat ke arah pembangunan sektor padi tempatan, sekali gus memupuk kesedaran akan kepentingan pemeliharaan alam sekitar, mewujudkan keseimbangan ekologi di sawah, melindungi kesihatan pesawah dan memperbaiki pengetahuan teknikal pesawah termasuk kawalan penyakit di sawah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here