GEORGE TOWN, 16 Mac — Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) menyambut ketibaan kumpulan penumpang bagi penerbangan pertama Program Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) udara Singapura-Pulau Pinang, petang tadi.

Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Datuk Iskandar Mizal Mahmood turut mengalu-alukan langkah yang disifatkannya sebagai usaha kerajaan untuk merancakkan semula aliran penumpang antarabangsa serta pelancongan yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi.

Ini berikutan kedudukan LTAPP sebagai lapangan terbang kedua paling sibuk selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari segi aliran trafik penumpang antarabangsa.

“Program (VTL) yang turut melibatkan Pulau Pinang akan menyumbang kepada usaha bagi memulihkan industri pelancongan berikutan kedudukan negeri itu sebagai pintu masuk ke negeri-negeri di utara Malaysia yang membawa manfaat kepada Kedah, Perak dan Perlis.

“Sebagai permulaan, kami menjangkakan pergerakan 1,000 hingga 2,000 penumpang VTL dalam operasi minggu pertama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iskandar juga menyifatkan program VTL tersebut sebagai positif dalam menggalakkan perjalanan antarabangsa secara lebih selamat.

“Biarpun sempadan negara akan hanya dibuka semula mulai 1 April ini, program ini akan memberi manfaat bagi perjalanan antara Malaysia dan negara-negara yang masih belum membuka sempadan sepenuhnya.

“Malah, sama seperti di KLIA, LTAPP turut menempatkan kemudahan pengendali perkhidmatan saringan swasta bagi menyediakan ujian COVID-19 di lapangan terbang itu. Kami juga telah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa untuk melaksanakan proses ‘uji dan lepas’ penumpang yang tiba di bawah program VTL udara itu,” katanya.

Menurut Iskandar, sejajar dengan usaha negara memasuki fasa peralihan endemik dan melakukan persiapan bagi pembukaan semula sempadan, MAHB juga bekerjasama erat dengan pihak berkuasa bagi memudahkan pengalaman penumpang dan memastikan protokol keselamatan dan proses kesihatan dilaksanakan sewajarnya demi keselamatan semua.

Proses ‘uji dan lepas’ itu yang bermula pada hari ini, membolehkan penumpang beredar segera ke lokasi penginapan yang telah diisytiharkan dalam Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) MySejahtera, sejurus mendapat pelepasan imigresen tanpa perlu menunggu keputusan saringan RT-PCR COVID-19 di lapangan terbang.

Ini akan memberi lebih banyak fleksibiliti dan keselesaan kepada pengembara VTL sementara menunggu keputusan ujian masing-masing dan apabila keputusan negatif, status HSO mereka dalam MySejahtera itu akan diubah oleh pihak berkuasa dalam tempoh 24 jam.

Dalam pada itu, pesawat VTL pertama dari Singapura yang tiba di LTAPP merupakan penerbangan AK1730 AirAsia yang membawa kira-kira 60 penumpang dan mendarat pada 6.40 petang tadi.

Pesawat itu turut diberi sambutan meriam air manakala penumpang menerima cenderahati bersempena acara istimewa yang menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi kedua negara selepas Kuala Lumpur di bawah progam VTL Singapura-Malaysia.

Sebanyak empat syarikat penerbangan beroperasi di bawah program berkenaan iaitu Malaysia Airlines, AirAsia, Singapore Airlines dan Scoot.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here